Pelancong maut kena kipas bot

BESUT – Keseronokan tiga pelancong menyelam dan berenang di perairan Pulau Perhentian Kecil dekat sini semalam tidak berpanjangan apabila seorang daripada mereka maut manakala seorang lagi cedera parah akibat terkena kipas sebuah bot yang membawa penumpang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd. Zakaria berkata, sebelum kejadian pada pukul 10.20 pagi itu, Madaline Jayne, 25, gadis warga Britain dan Simon, 23, warga Australia serta seorang lagi rakan kepada dua sahabat itu yang belum dikenali berenang dan menyelam di luar kawasan yang dikhaskan untuk pelancong berenang.

“Sebuah bot fiber yang membawa beberapa orang pelancong menuju ke pulau itu tidak menyedari kehadiran tiga sahabat yang mandi laut tanpa memakai jaket keselamatan selain kawasan tersebut juga berada di luar kawasan yang dikhaskan untuk mandi,” kata beliau.

Oleh itu, menurut beliau, pemandu bot itu hanya menyedari kejadian itu selepas pergerakan bot dikemudinya terganggu sebelum penumpang bot berkenaan ternampak ada dua mangsa cedera di dalam air. [Kosmo]