Pelajar tingkatan dua dijumpai mati dibunuh

Melaka: “Arwah sempat mengajak saya berbuka puasa bersama, malah sebelum keluar mengaji, dia salam saya dan mencium ibunya berulang kali tidak seperti kebiasaan.”

Begitu kata Mohamad Sahak, 58, bapa Aimi Hamizah, 14, yang ditemui mati dalam semak di kawasan pembuangan sampah berhampiran tanah lapang di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek, di sini, malam kelmarin.

Mayat pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Molek yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu itu dipercayai menjadi mangsa bunuh sebelum ditemui sekumpulan remaja yang bermain bola di kawasan berhampiran.

Mohamad berkata, sebelum kejadian, anak bongsu daripada tiga beradik itu berjalan untuk mengaji di sebuah rumah kira-kira 200 meter dari rumah mereka pada jam 7.40 malam.

ANGGOTA polis memeriksa tempat mayat arwah ditemui.
SEORANG jurukamera merakam lokasi mayat Aimi Hamizah ditemui di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek, Melaka kelmarin

“Kebiasaannya arwah pulang jam 9 malam, namun pada malam kejadian sehingga jam 10 malam, arwah masih tidak muncul sebelum saya mencarinya di tempat mengaji.

Sementara itu Kes pembunuhan menunjukkan perkembangan positif apabila polis menahan seorang lelaki yang merupakan kenalan mangsa di sebuah rumah di Ayer Molek di sini.

Lelaki berusia 17 tahun tersebut ditahan pada pukul 3.30 petang semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan dia boleh dihukum mati mandatori.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Superintendan P. R. Gunarajan berkata, remaja lelaki itu merupakan pelajar di sebuah sekolah menengah di sini.

“Kita masih menyiasat motif sebenar pembunuhan tersebut dan bedah siasat akan dilakukan esok (hari ini) untuk mengetahui punca kematiannya,” katanya.