Pelaburan melonjak RM49.3b

Malaysia menarik pelaburan berjumlah RM49.3 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, peningkatan 44 peratus berbanding RM34.3 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

Ia membabitkan sejumlah 1,224 projek yang bakal menawarkan 41,885 peluang pekerjaan baru.

Berdasarkan kepada prestasi suku pertama yang menggalakkan itu, Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) yakin kemasukan pelaburan bagi seluruh tahun ini bakal mengatasi sejumlah RM162 bilion yang dicatatkan tahun lalu.

Dari segi bilangan, pelaburan berkualiti hanya mewakili kira-kira 30 peratus daripada jumlah yang diluluskan pada suku pertama itu, tetapi dari segi nilai ia menyumbang kira-kira 80 peratus.” Datuk Noharuddin Nordin, Ketua Eksekutif MIDA

Ketua Eksekutif MIDA, Datuk Noharuddin Nordin (gambar), berkata dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, pelaburan domestik mewakili jumlah terbesar, iaitu RM31 bilion atau 62.9 peratus, meningkat 25.5 peratus daripada RM24.7 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, manakala pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang RM18.3 bilion (37.1 peratus).

Beliau berkata, prestasi pelaburan yang baik pada suku pertama itu menggambarkan Malaysia terus kompetitif sebagai lokasi pelaburan pilihan, malah lebih menggalakkan pelaburan yang diluluskan itu adalah pelaburan berkualiti dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama.

“Dari segi bilangan, pelaburan berkualiti hanya mewakili kira-kira 30 peratus daripada jumlah yang diluluskan pada suku pertama itu, tetapi dari segi nilai ia menyumbang kira-kira 80 peratus,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Kekal tumpuan FDI

Noharuddin juga menjelaskan, walaupun pelaburan domestik menjadi penyumbang utama dalam tempoh itu, Malaysia kekal sebagai tumpuan FDI dengan nilai yang diluluskan meningkat 90.6 peratus berbanding pada suku pertama tahun lalu.

“FDI dalam suku pertama tahun ini meningkat kepada RM18.3 bilion daripada hanya RM9.6 bilion pada tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Sektor perkhidmatan mewakili bahagian terbesar daripada jumlah pelaburan diluluskan dalam suku pertama itu, iaitu RM22.3 bilion atau 45.2 peratus, diikuti sektor utama RM15.3 bilion (31 peratus) dan sektor pembuatan RM11.7 bilion (23.8 peratus).

Susulan usaha berterusan MIDA menarik pelaburan dalam industri berteknologi tinggi, empat subsektor mencatatkan pertumbuhan tertinggi iaitu peralatan saintifik dan mengukur yang meningkat 478.8 peratus, produk asas besi (273.1 peratus) elektrik dan elektronik (161.3 peratus) dan kayu (86 peratus).

Antara projek berkualiti yang diluluskan dalam tempoh berkenaan termasuk oleh pengeluar peralatan perubatan, ABio Orthopaedics Sdn Bhd; pengeluar peralatan mesin dan komponen alat ganti kejituan, Alpha Precision Turning and Engineering Sdn Bhd; syarikat penyelenggaraan rel kereta api, CSR Rolling Stock Centre (M) Sdn Bhd; dan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan, Pulau Pinang Clinic Sdn Bhd.

Pelaburan di Johor paling tinggi

Mengikut negeri pula, Johor mendahului senarai dengan pelaburan keseluruhan berjumlah RM5.6 bilion, diikuti Sarawak (RM3 bilion), manakala Melaka serta Kelantan menduduki senarai terbawah dengan tiada FDI dan jumlah pelaburan diterima masing-masing ialah RM15.4 juta dan RM6.6 juta.

Sementara itu, Noharuddin berkata, daripada sejumlah 41,885 peluang pekerjaan yang akan diwujudkan daripada pelaburan itu, jawatan yang membabitkan pengurusan, teknikal dan penyeliaan serta tenaga kerja berkemahiran meningkat kepada 82 peratus daripada 74 peratus pada tempoh sama tahun lalu.

“Ini menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang diperlukan sejajar hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi,” katanya.