Pahang bertekad tambah derita Terengganu

PAHANG akan pastikan Terengganu terus dihimpit kekecewaan pada pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Che Nasir Salleh berkata, Pahang akan terus memburu tiga mata pada pertemuan di Kuala Terengganu itu bagi mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas skuad Penyu.

Tambah Che Nasir, ia juga bagi memastikan Pahang mampu mengubah kedudukan dalam carta liga musim ini.

“Kalau boleh, kita tidak akan memberi peluang kepada Terengganu malam esok (malam ini). Matlamat kami hanya satu, iaitu untuk memburu tiga mata penuh,” katanya ketika dihubungi di Kuantan semalam.

Untuk rekod, pada perlawanan pertama menentang Terengganu di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 27 Januari lalu, Pahang yang dibimbing Dollah Salleh menang 3-0 ke atas lawan mereka itu.

Che Nasir turut membayangkan Pahang bakal beraksi tanpa khidmat dua pemain import, Matias Conti dan Delano Damion Stewart malam ini.

“Walaupun tiada pemain import, para pemain tempatan telah menunjukkan aksi yang cemerlang dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Kalau malam esok (malam ini) tiada pemain import yang diturunkan, mereka (pemain tempatan) tetap berupaya menggalas tugas dengan baik.

“Kita ada ramai pemain tempatan yang bagus-bagus. Rasanya tidak ada masalah kalau bermain tanpa pemain import pada aksi menentang Terengganu,” katanya.

Che Nasir menambah, para pemain sewajarnya berwaspada terhadap keupayaan Terengganu kerana pasukan itu mungkin tampil dengan taktik serangan yang lebih berbisa berbanding pertemuan sebelum ini.

Ujar beliau, para pemain wajar waspada dalam setiap gerakan kerana Terengganu mungkin akan mengambil peluang daripada kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh pemain Pahang.

“Para pemain sudah diingatkan supaya tidak membuat sebarang kesilapan dalam perlawanan itu nanti.

“Kesilapan, walaupun kecil akan tetap memberi risiko yang besar,” katanya.

Saksikan perlawanan ini jam 4:45 ptg secara live stream di sini.