OKS mahu Harimau Muda lebih agresif

Pasukan Malaysia B23 akan beraksi dalam perlawanan persahabatan ke sepuluh di Eropah pada hari Rabu menentang Sparta Prague B21.

Selepas mendapat kemenangan pertama menentang Slavia Praha B21 pada Selasa lepas, ketua jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee menggesa anak buahnya untuk lebih agresif apabila beraksi dalam perlawanan kedua di Republik Czech menentang Sparta Prague B21.

Pasukan Sparta Prague B21 turut akan melibatkan beberapa pemain dari pasukan Sparta Prague dari liga utama Republik Czech.

Kim Swee menjangkakan Sparta Prague juga akan mempamerkan aksi seperti Slavia Praha yang lebih menekankan kepada aspek fizikal.

“Sudah tentu Sparta Prague juga seperti Slavia Praha yang agresif dan lebih menekankan kepada aspek fizikal. Kemungkinan juga mereka akan mempunyai taktikal yang lebih mencabar kepada kami,” kata Kim Swee kepada FOX Sports.

Walaupun menang 2-1 ke atas Slavia Praha B21, Kim Swee enggan pasukannya leka dan menggesa mereka untuk kekal konsisten.

“Kita kena pastikan tahap intensiti dan ‘pressing’ dikekalkan – tahap agresif semasa menyerang dan bertahan harus konsisten. Selain itu, bahagian pertahanan dan tengah perlu diperbaiki dimana jurang antara kedua-dua posisi itu harus dikurangkan agar pihak lawan sukar mengambil kesempatan.

“Tetapi apa yang paling mustahak adalah penyudah menjaringkan gol. Setiap peluang yang diterima harus dimanfaatkan sepenuhnya sebelum kita ketinggalan,” tambahnya lagi.

Beliau turut memuji penyerang Harimau Muda, Rozaimi yang menjaringkan gol kemenangan pada saat akhir untuk Harimau Muda minggu lepas.

“Ia sesuatu yang baik dia dapat menjaringkan gol minggu lepas dan saya harap jaringan itu menjadi motivasi kepadanya untuk menjaringkan gol dalam perlawanan yang akan datang. Namun Rozaimi perlu perbaiki kefahamannya terhadap percaturan dan taktik pasukan,” jelas Kim Swee.

Harimau Muda bakal turun menentang Sparta Prague B21 tanpa beberapa tonggak utama seperti Thamil Arasu, Syahrul Azwari dan Fandi Othman yang dijangka akan kembali berlatih bersama pasukan utama setelah mereka kembali ke kem latihan di Slovakia pada 30 Mei ini. [Foxsports]