Nyaris maut dipaksa suami ambil dadah

Kuala Lumpur: Seorang wanita hampir maut selepas dipaksa suaminya mengambil dadah secara berlebihan hingga menyebabkan wanita itu dikejarkan ke hospital.

Malah, wanita malang berusia 37 tahun itu dikatakan menjadi mangsa ketagihan dadah selepas suami dan beberapa rakan mereka terbabit melepas gian di rumah mereka di Taman Maluri, Cheras, di sini.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang mengadu sesak nafas dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan sebelum doktor yang memberi rawatan membuat laporan polis, kelmarin.

Menurut sumber dalam kejadian kira-kira jam 8 malam Jumaat lalu, suami mangsa membawa beberapa rakannya pulang ke rumah untuk menghisap dadah.

“Suaminya yang berusia lewat 30-an dan rakan lain dikatakan mengambil dadah disyaki syabu. “Malah, lelaki terbabit turut memaksa isterinya mengambil dadah berkenaan bersama mereka.

Mangsa yang tidak mengetahui apa-apa turut berbuat demikian,” katanya.

Malangnya, sumber berkata, selepas beberapa jam kemudian mangsa mendakwa mengalami sesak nafas, sakit dada dan sukar untuk tidur menyebabkan mangsa mengadu kepada suaminya.

“Mangsa kemudian dibawa ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan kecemasan. Selepas diberikan rawatan mangsa dilaporkan stabil,” katanya. [myMetro]