Nurhidayah maut didera suami

Kuala Lumpur: Dipijak di muka dan dicucuh dengan api rokok hingga mati. Begitulah nasib malang menimpa seorang ibu kepada empat anak, termasuk seorang kelainan upaya, di Kampung Bahagia, Jalan Puchong, di sini, kelmarin.

Lebih memilukan, wanita itu, Nurhidayah A Ghani, 29, dipercayai diperlakukan sedemikian oleh suaminya berusia 39 tahun yang dikahwini 11 tahun lalu.

Menceritakan kejadian itu, kakak mangsa, Ummi Kalsom berkata, adiknya menerima nasib malang selepas melahirkan anak sulung yang kini berusia 10 tahun dan kurang upaya.

“Keadaan anak sulung mereka bukan penyebab utama arwah dibelasah, namun tabiat suaminya yang ketagih dadah dan arak selain panas baran menyebabkan adik saya menjadi mangsa belasahannya.

TINGGAL kenangan gambar Nurhidayah bersama suami dan anak.

“Arwah sering melarikan diri ke rumah keluarga di Kampung Muhibah, Jalan Puchong, namun suaminya pandai memujuk dan membawanya pulang ke rumah” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam.

Tragedi menyayat hati itu menimpa mangsa yang bekerja sebagai kerani akaun di sebuah hotel di Jalan Klang Lama di sini dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati si suami apabila isterinya itu mahu menuntut cerai.

Bagaimanapun pada malam kejadian, suspek bertindak membawa isterinya yang cedera parah itu untuk mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini pada kira-kira pukul 1 pagi tetapi mangsa mati dalam perjalanan.

Difahamkan, rumah tangga pasangan tersebut kerap bergolak berpunca daripada sikap panas baran dan kaki pukul si suami sejak mereka mendirikan rumah tangga 11 tahun lalu.