Neymar Diejek penyokong Santos

Brasilia: Pemain paling berbakat Brazil, Neymar diejek penyokong lawan pada penampilan terakhir bersama Santos semalam, sehari selepas mengesahkan akan berhijrah ke Barcelona musim depan.

Neymar gagal membantu pasukannya ketika seri tanpa jaringan menentang Flamengo pada perlawanan pembukaan kejohanan liga Brazil di stadium baru Piala Dunia di ibu negara Brazil itu.

Penyerang berusia 21 tahun itu, yang dilihat sebagai prospek paling menyerlah dalam bolasepak, mengumumkan memilih Barca bukannya Real Madrid dan akan meninggalkan Santos untuk mengikat kontrak lima tahun dengan kelab Catalan itu.

Sebilangan besar daripada 63,500 penonton yang memenuhi Stadium Nasional Mane Garraincha di Brasilia adalah penyokong Flamengo yang mencemuh Neymar apabila dia mengawal bola dan bersorak apabila dia kehilangan bola.

Bintang Brazil dengan rambut ala Mohican itu menangis ketika lagu kebangsaan dinyanyikan sebelum perlawanan, yang terakhir buatnya dengan kelab itu.

“Satu penghormatan bermain buat pasukan sehebat Santos, saya gembira dapat melakukannya,” katanya.

“Setiap kanak-kanak mempunyai impian, sama ada sebagai pemain, doktor gigi atau wartawan. Impian saya menjadi atlet profesional dan berjaya meraihnya. Hari ini Barcelona memenuhi impian saya.” Sesetengah penyokong Flamengo yang mengejek Neymar semalam mungkin akan bersorak buatnya di stadium sama pada 15 Jun ini apabila dia turun beraksi buat Brazil menentang Jepun pada perlawanan pembukaan Piala Konfederasi, kejohanan lapan negara raptai kepada Piala Dunia tahun depan.

Neymar tidak pasti bila akan berkunjung ke Barcelona namun berkata, dia teruja dengan prospek bermain di samping Lionel Messi, Xavi Hernandez, Andres Iniesta dan Dani Alves.

“Peminat Santos sering menyokong saya. Saya hanya boleh berterima kasih kepada mereka dan berkata semoga kita berjumpa lagi kerana satu hari saya akan kembali.” – Reuters