‘Mungkin ada mangsa culik lain’

Cleveland: Tulisan “R.I.P” yang dikesan pada sebuah dinding rumah tempat tiga wanita dikurung selama sedekad mencetuskan kebimbangan ada mangsa lain yang pernah ditawan di situ.

Menurut sumber, tulisan berkenaan ditemui di sebelah satu nama wanita. “Pihak berkuasa bimbang jika ada tawanan keempat di situ yang meninggal dunia sebelum ini,” katanya. Sebelum itu, tiga wanita yang dilaporkan hilang 10 tahun lalu, Amanda Berry, Gina DeJesus dan Michelle Knight berjaya diselamatkan beberapa hari lalu.

Ketika disoal siasat, mereka menceritakan pengalaman ngeri mereka sepanjang tempoh dikurung di rumah berkenaan. Gina, 23, dipertemukan semula dengan keluarganya, termasuk ibu Nancy dan disambut ratusan penduduk setempat yang berkumpul di luar rumah mereka.

Ia berlangsung ketika suspek yang bertanggungjawab dalam penculikan itu, Ariel Castro, 52, didakwa atas empat tuduhan menculik serta tiga tuduhan merogol.

Bagaimanapun, pegawai polis Cleveland Ed Tomba berkata, dua saudara kandung tertuduh, Pedro, 54 dan Onil, 50, belum dikenakan sebarang tuduhan.

Difahamkan, mangsa memberitahu polis Pedro dan Onil tidak terbabit dalam penculikan berkenaan. Amanda, 27, diselamatkan bersama anak perempuannya yang berusia enam tahun, Jocelyn.

Amanda Berry (tengah) bersama kakaknya dan anak yang dilahirkan ketika dalam tahanan

GINA mengangkat ibu jarinya sejurus tiba di rumah dan bertemu ahli keluarganya untuk kali pertama sejak 10 tahun lalu, semalam.
ADIK-BERADIK Castro (dari kiri) Onil, Pedro dan Ariel berbaris di Mahkamah Perbandaran Cleveland dalam sebutan kes penculikan dan rogol tiga wanita, semalam.

Dia bercadang membuat kenyataan kepada orang ramai yang berkumpul menyambut kepulangannya tetapi gagal kerana tidak dapat menahan emosi. Sebaliknya, kakak Amanda, Beth Serrano yang bercakap bagi pihaknya dan menceritakan bagaimana ibu mereka, Lowana, tidak pernah berputus asa mencari Amanda sehinggalah dia meninggal dunia pada 2006. Michelle, 32, masih dirawat di hospital bagi merawat kesan fizikal dan mental yang dialaminya, termasuk masalah pendengaran serta kecederaan pada mukanya yang dibelasah bertahun-tahun.

Difahamkan, Michelle memberitahu polis ada wanita lain di rumah itu ketika dia diculik dan dikurung mulai 2002.

Bagaimanapun, kata sumber, Michelle tidak pasti kerana dia dikurung dalam bilik berasingan.

Sementara itu polis berkata, ketiga-tiga mangsa terbabit mengalami beberapa kali keguguran dan seorang daripada mereka dipaksa menjadi bidan ketika seorang yang lain bersalin tanpa bantuan perubatan.

Malah, dia diugut akan dibunuh jika bayi atau ibu terbabit meninggal dunia. Pengarah Keselamatan Awam Cleveland, Martin Flask berkata, tiada sebarang kesan menunjukkan ada mangsa lain ditemui di rumah berkenaan.

Sementara itu ketika di mahkamah, Ariel Castro hanya menunduk dan menggigit kolar bajunya ketika hampir keseluruhan pertuduhan dibacakan.

Dia kemudian menandatangani dokumen dengan tangan bergari. Dia tidak bercakap sepatah perkataan pun dan mahkamah menetapkan jaminan AS$2 juta (RM5.9 juta) untuk setiap kes yang dihadapinya.