Mukhriz mahu kembalikan kegemilangan Hijau Kuning

ALOR SETAR – Menteri Besar yang baharu, Datuk Mukhriz Mahathir berazam untuk mengembalikan kecemerlangan sukan bola sepak Kedah selepas pasukan Hijau Kuning mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, beliau akan berusaha memberikan yang terbaik kepada skuad Sang Kenari dengan memenuhi keperluan pasukan seperti menarik penajaan dari sektor swasta bagi membiayai persatuan yang memerlukan perbelanjaan besar dan memastikan soal kebajikan dijaga.

Beliau juga meminta semua pemain untuk kekal bersama Kedah bagi memastikan impian mencapai kegemilangan itu menjadi realiti.

“Biarpun ada tawaran daripada kelab lain, saya berharap pemain terus kekal atas semangat Kedah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelantikan Exco kerajaan negeri di Istana Anak Bukit di sini semalam.

Kedah yang beraksi di Liga Perdana ketika ini berada di tangga keempat dengan mengutip 30 mata selepas 16 perlawanan.

Skuad Sang Kenari pernah berada di puncak apabila mencipta sejarah merangkul kejuaraan treble berganda dengan gelaran Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim 2007 dan 2008.

Bagaimanapun, pasukan berkenaan selepas kemerosotan prestasi dari setahun ke setahun sehingga terjerumus ke Liga Perdana pada musim ini.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, beliau belum memikirkan sebarang perubahan atau rombakan ke atas persatuan itu dan pengurusan.

Jawatan Presiden KFA kini dipegang oleh bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang menyandang jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008 berikutan Perlembagaan KFA menetapkan Presiden persatuan itu adalah Menteri Besar.

Namun KFA mengubah perlembagaan baharu pada 2010 yang mana jawatan Presiden dan eksekutif KFA bukan lagi automatik sebaliknya semua jawatan dipertandingkan.