Moyes tidak mampu tolak tawaran United

LONDON – David Moyes (gambar) mengakui dia tidak mampu untuk menolak peluang menyertai Manchester United sehingga membuat keputusan mendadak menamatkan khidmatnya selama 11 tahun di Everton.

Dengan kontraknya di Everton bakal tamat akhir musim ini, Moyes menimbangkan masa depannya selama beberapa minggu dan pada awalnya dia cenderong membuat keputusan untuk kekal di Goodison Park. Namun dia bertindak drastik dalam tempoh 48 jam, yang sekali gus mengubah wajah bola sepak Inggeris.

Rabu lalu, pengurus, Alex Ferguson mengumumkan akan bersara pada hujung musim, yang menyebabkan United mengemukakan tawaran kepada Moyes. Tawaran itu dicadangkan oleh Ferguson sendiri bagi mengisi kekosongan di Old Trafford.

Moyes tidak berfikir dua kali tawaran sekali dalam seumur hidup itu dan pengurus berusia 50 tahun itu kelmarin mengesahkan bakal menjadi bos pertama United sejak 1986.

“Semua ini berlaku dengan pantas. Memang mendadak sekali. Adalah tidak benar jika ada yang menyatakan perundingan telah dibuat sejak sebulan lalu.

“Kelab Everton amat penting buat saya. Tetapi apabila memikirkan untuk menolak tawaran tersebut, secara jujur saya ingin nyatakan bahawa saya tidak akan berbuat demikian,” kata Moyes.

Moyes bercakap pada sidang akhbar di Everton menjelang perlawanan menentang West Ham hari ini dan walaupun media dimaklumkan bahawa mereka tidak dibenarkan bertanya mengenai United, dia mendedahkan betapa sukarnya untuk dia meninggalkan Everton.

“Memang sukar kerana saya amat menghormati pengerusi kelab (Bill Kenwright). Dia merupakan seorang yang hebat. Tidak pernah mengkritik, sentiasa menyokong. Memang sukar bertemu dengannya untuk memberitahu saya akan meninggalkan kelab.

“Kadang kala anda perlu meninggalkan kelab dan saya berharap saya meninggalkan mereka dalam keadaan yang terbaik,” kata Moyes.

Moyes turut memberikan penghormatan kepada Ferguson, sambil menambah: “Ini adalah satu perkara yang pelik. Saya tidak fikir sesiapa pun menyangka dia akan bersara. Dia merupakan manusia yang luar biasa. Ketiadaannya pasti akan dirasai. Saya tahu dia amat disanjungi.” – AFP