Moyes mahu bawa Baines, Fellaini ke Man Utd

LONDON – David Moyes bersedia untuk melancarkan ‘serangan’ terhadap kelabnya ketika ini, Everton dengan mahu membawa dua tonggak mereka, Leighton Baines dan Marouane Fellaini untuk menyertai Manchester United.

Kelmarin, Moyes diumumkan sebagai pengganti Alex Ferguson dan akan mengambil alih kedudukan pengurus Manchester United bermula 1 Julai ini.

Antara langkah pertama yang diambil oleh pengendali dari Scotland itu adalah cuba mendapatkan pertahanan kiri England, Baines dengan harga 15 juta pound (RM69.26 juta).

Dia juga mahu melakukan pembelian berkembar dengan turut mengidamkan bintang tengah Belgium, Fellaini. Kedua-dua pemain itu akan memerlukan United berbelanja 39 juta pound (RM180.07 juta).

Moyes, 50, yang akan mengendalikan dua perlawanan terakhir Everton musim ini bakal mengucapkan selamat tinggal dengan penuh emosi apabila pasukan itu beraksi di Goodison Park buat kali terakhir, menentang West Ham, esok.

Baines, 28, bekas pertahanan Wigan sudah lama berada dalam radar United, namun juara Liga Perdana Inggeris itu tidak pernah melakukan tawaran rasmi.

Begitupun keadaan akan berubah apabila Moyes melapor diri sebagai pengurus baru Red Devils, dan kehadiran Baines yang gemar membantu jentera serangan dianggap satu opsyen yang sempurna buat bintang penyerang mereka, Robin van Persie.

Everton sedar, mereka tidak punya kuasa untuk menghalang Baines daripada mengikut Moyes kerana sedar adalah mustahil untuk menafikan hak pemain beraksi dalam skuad gergasi seperti United.

United yang turut berusaha menguatkan bahagian tengah bakal mendapati, kehadiran Fellaini, yang dianggarkan bernilai 24 juta pound (RM110.81 juta) merupakan opsyen terbaik mereka.

Faktor bahawa Fellaini, 25, boleh beraksi sebagai pemain tengah menyerang, posisi yang menjadi kelemahan United sejak beberapa tahun ini, menjadikan perpindahan pemain itu hampir pasti.

Malah, pemain Belgium itu secara terbuka mengakui, dia mahu beraksi dalam Liga Juara-Juara.

Moyes sememangnya menjadi calon kegemaran Ferguson sejak dulu lagi, malah ketika mengumumkan pelantikan Moyes, Ferguson mengakui: “Ketika kami membincangkan mengenai calon pengurus baharu, kami secara sebulat suara bersetuju dengan David.

“Saya sudah lama mengagumi kerjanya, malah cuba memujuknya sejak 1998 untuk menjadi pembantu pengurus di sini. Tiada persoalan lagi, dia memiliki semua kualiti yang diperlukan untuk menguruskan kelab.”

Bagi Moyes, dilantik sebagai pengganti Ferguson adalah satu penghormatan dan pengiktirafan dalam kariernya sebagai jurulatih.

“Saya sedar, sukar hendak meneruskan legasi hebat pengurus terbaik seperti Sir Alex. Saya telah melakukan tugas yang baik di Everton, saya bekerjasama baik dengan pengurusi, ahli lembaga serta semua pemain di sana, Everton akan kekal dalam ingatan saya sepanjang hidup saya,” kata Moyes. – AGENSI