Moral Kelantan memuncak

Kota Bharu: Tiga kemenangan berturut-turut dilakar Kelantan sebelum ini sekadar memberi gambaran betapa Bojan Hodak yakin anak didiknya dapat menewaskan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abd Rahman Paroi, malam ini.

Misi ketua jurulatih The Red Warriors itu jelas – mahu memburu kemenangan berikut untuk berada dalam kelompok lima teratas liga.

Anak buah saya sudah mula menunjukkan kebangkitan selepas berjaya meraih tiga kemenangan berturut-turut dalam perlawanan sebelum ini. Moral mereka kini semakin tinggi untuk terus mencipta kemenangan.

Masih belum terlambat untuk kami bangkit dan memperbaiki kedudukan. Walaupun peluang mengekalkan kejuaraan liga yang dikecapi musim lalu semakin tipis, namun kami tetap akan berusaha untuk sekurang-kurangnya berada dalam lima pasukan terbaik.

Semua baki perlawanan yang akan ditempuhi ini adalah penting dan kami perlu menang untuk terus membaiki kedudukan, katanya, semalam.

Dickson mungkin turun

Kelantan kini berada di tangga kelapan liga dan memungut 20 mata selepas 15 perlawanan.
Selain itu, Bojan berkata, beliau mungkin akan menggunakan khidmat penyerang import, Dickson Nwakaeme dalam perlawanan malam ini biarpun pemain itu masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Katanya, Dickson memainkan peranan penting di barisan serangan TRW dan ia terbukti selepas berjaya membantu Mohd Badhri Radzi atau Piya menjaringkan gol ketiga Kelantan ketika pertemuan dengan FELDA United walaupun dimasukkan pada tujuh minit terakhir.

“Dia (Dickson) memainkan peranannya dengan baik di barisan depan. Walaupun dia masih belum pulih sepenuhnya, tapi saya tetap berharap dia boleh bermain membantu pasukan, katanya.