Malaysia cadang bida Piala Dunia 2034

PETALING JAYA – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyifatkan 2034 sebagai tahun paling sesuai buat negara Asia Tenggara khususnya Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia.

Bagaimanapun, Tengku Abdullah awal-awal lagi mengingatkan perkara paling utama bukan infrastruktur dan kehadiran penonton sahaja.

“Perkara paling utama Malaysia perlu mempunyai sebuah pasukan kebangsaan yang mantap,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Piala Asean FAM-Frenz B-15 2013 semalam.

Jelasnya, dari segi fasiliti Malaysia sudah layak menganjurkan Piala Dunia seperti Piala Dunia Remaja 1997, tetapi tidak mempunyai pasukan kebangsaan yang mantap.

“Itu adalah pengajaran buat kita, kita perlu membina pasukan mantap kerana ini adalah agenda nasional,” katanya.

Beliau membayangkan pada 2034 Malaysia mampu menjadi tuan rumah Piala Dunia bersama sebuah negara Asia Tenggara, seperti yang dilakukan Jepun-Korea Selatan pada 2002.

Ditanya mengenai proses awal ke arah menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034, Tengku Abdullah menjelaskan negara anggota Asean dan ahli gabungan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) akan mengadakan mesyuarat pertama pada 19 Jun ini.

“Ini adalah mesyuarat pertama kami tetapi saya sudah mempunyai cadangan yang telah dirangka sebelum ini. Tahun 2034 adalah tempoh yang lama. Saya juga telah berbicara secara ringkas bersama Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter mengenai bidaan buat Asia Tenggara menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.

“Gambaran awal yang diberi FIFA adalah membida pada tahun 2026 jika mahu menjadi tuan rumah pada 2034, ia akan mengambil masa lama untuk proses tersebut, semuanya akan disahkan kemudian, kerana kita tahu apa sahaja boleh berlaku dalam FIFA,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memuji usaha Akademi Bola Sepak Frenz United menganjur Piala ASEAN FAM-Frenz B-15 2013 yang dianggap sebagai titik permulaan melahirkan pemain hebat.

Kejohanan tersebut bakal disertai 11 negara Asia Tenggara, Indonesia, Thailand, Vietnam, Kemboja, Myanmar, Laos, Filipina, Timor Leste, Brunei, Singapura dan Malaysia akan diwakili Akademi Frenz United dan pasukan bawah 15 kebangsaan.

Stadium Janda Baik, Pahang bakal menjadi gelanggang utama pasukan Malaysia. Kejohanan menawarkan ganjaran utama ASD100,000 (RM300,200). Kejohanan ini dijangka berlangsung pada 25 Mei hingga pada 8 September. [Utusan]