Lemas dalam parit

Sungai Besar: Seorang wanita lemas selepas kereta Proton Wira dinaiki bersama adik dan iparnya terbabas dan terjunam ke tali air di Parit 5 1/2, di sini petang semalam.

Mangsa, Hasiah Rashidi, 53, dipercayai gagal keluar dari kenderaan sebaik kereta itu terjunam manakala dua lagi mangsa dikeluarkan orang ramai yang melihat kejadian itu.

Saksi kejadian Apai Ismail, 37, berkata, beberapa penduduk berusaha memberi bantuan pernafasan ke atas mangsa, tetapi gagal.

Difahamkan, ketika kejadian jam 2 petang itu, mangsa yang berniaga roti canai di Kampung Binjai Jaya bersama adiknya Nazarudin Rashidi, 34, dan seorang lagi dikenali sebagai Iza, 24, dalam perjalanan ke Sungai Besar untuk membeli barang.

Apai berkata, pada awalnya, mereka menyangka hanya dua orang terperangkap dalam kenderaan itu, namun sebaik adik mangsa dikeluarkan, dia memaklumkan kakaknya terperangkap dalam kereta itu. “Pada masa sama, beberapa penduduk membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap,” katanya.

Menurutnya, semua mangsa dikeluarkan penduduk kampung sebelum jentera bomba tiba beberapa minit kemudian.

Anak mangsa, Mohd Sani Mohd Zaini, 23, berkata, ibunya ada menunjukkan perubahan sebelum kejadian kerana menjadi pendiam dan sering melaksanakan tugasan tergesa-gesa. “Sebelum ini ibu seorang yang periang, tetapi sejak kebelakangan ini, arwah menjadi pendiam dan sentiasa muram. Pagi sebelum kejadian, arwah kelihatan tergesa-gesa ketika melakukan segala kerja seperti sudah tahu ajalnya akan tiba,” katanya.

Menurutnya, jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Parit 16 Binjai Jaya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati kereta mangsa dipandu laju dan sebaik melalui selekoh di lokasi kejadian, pemandu hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terbabas dan terjunam ke dalam parit.

“Tiga mangsa berada di dalam kereta itu dan dua daripadanya mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi meninggal dunia,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sabak Bernam untuk dibedah siasat dan sudah dituntut ahli keluarga petang semalam.