Khalwat dengan kakitangan, Pengarah Tabung Haji tidak mengaku salah

Georgetown: Lakonan Pengarah Tabung Haji Pulau Pinang yang menukar baju dan menutup mukanya dengan jaket sambil diiringi rakannya tidak menjadi, apabila ia dapat dikesan petugas media yang menunggu untuk mengambil gambarnya di Mahkamah Rendah Syariah Balik Pulau, di sini, semalam.

Ketika itu, beliau dikesan menggantikan orang lain dengan menukar kemeja oren dipakainya sebelum itu dengan seorang lelaki lain dipercayai rakannya yang diiringi sambil ditutup wajah dengan jaket dan menaiki kereta meninggalkan pekarangan mahkamah.

Bagaimanapun, taktik itu tidak menjadi apabila petugas media dapat mengesan beliau yang sudah menukar baju dan masih berada di mahkamah untuk menjelaskan wang jaminan.

Terdahulu, tertuduh Rozimin Ahamed Kamil, 46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah atas tuduhan berkhalwat dengan seorang wanita di sebuah bilik hotel di Kompleks Tabung Haji, Bayan Lepas, Isnin lalu.

ROZIMIN menutup mukanya dengan jaket selepas didakwa atas tuduhan berkhalwat.

Pasangannya, Nor Hamiza Ahmad, 35, seorang kakitangan Tabung Haji Pulau Pinang juga mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie, Mohamed Zaidi Abdullah, yang kemudian menetapkan 27 Jun ini sebagai sebutan semula kes.

Terdahulu semalam dilaporkan, naluri seorang suami terhadap perlakuan sumbang isterinya berjaya dihidu lalu memberi maklumat sehingga berjaya ditangkap ketika bersama rakan sekerja di sebuah bilik penginapan.

Menurut sumber, wanita itu dicekup ketika sedang berdua-duaan dengan pegawai kanan Tabung Haji Pulau Pinang di Kompleks Tabung Haji, Bayan Baru, malam Isnin lalu.

Wanita itu ditahan bersama pasangannya selepas suaminya membuat laporan kepada pegawai penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) setelah mengesyaki ada sesuatu yang berlaku apabila mendapati isterinya tidak muncul ketika datang menjemput pulang.

Difahamkan, selepas menerima laporan, sepasukan pegawai penguatkuasa JHEAIPP membuat pemeriksaan di lokasi dilaporkan dan mendapati seorang lelaki dan seorang wanita berada dalam sebuah bilik.

Kedua-duanya didapati tiada hubungan mahram serta gagal mengemukakan dokumen pernikahan kemudian dibawa ke pejabat JHEAIPP untuk siasatan lanjut.