Kereta tertimbus tanah runtuh

Kuala Lumpur: Sembilan kereta tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Ampang berhadapan Stesen LRT Dang Wangi, kira-kira jam 7.05 malam semalam.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun seorang pemandu kenderaan nyaris tertimbus ketika cuba mengeluarkan keretanya.

Mangsa M Logeswaran, 28, berkata, ketika dia tiba di tempat kejadian jam 7.45 malam, keretanya hanya tertimbus 40 peratus sebelum cuba mengeluarkan kenderaan itu bagi mengelak kerosakan lebih teruk.

Dia yang juga seorang jurutera berkata, ketika dia hendak mengeluarkan keretanya yang baru dibeli dua bulan lalu itu, dia terdengar bunyi kuat dan nampak tanah runtuh di hadapannya dan sempat melarikan diri ke kawasan selamat.

TANAH setinggi 25 meter runtuh dalam kejadian hujan lebat berhadapan Stesen LRT Dang Wangi.

“Saya nampak motosikal beberapa anggota polis yang sedang bertugas turut ditimbus tanah yang baru runtuh itu,” katanya.

Kerja-kerja mengalih lapan buah kereta yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh berhampiran Bukit Nanas di Jalan Ampang masih dijalankan.

Pasukan Bomba dan Penyelamat terpaksa menggunakan tali yang ditarik menggunakan jentera bomba untuk mengalihkan kenderaan tersebut setelah pemilik kenderaan tidak ditemui di lokasi kejadian.

Sehingga pukul 11.45 malam tadi, pergerakan tanah masih dikesan berlaku.