Kepenatan punca Selangor tewas – Irfan

MALE, Maldives – Kepenatan menjadi punca kekalahan Selangor kepada New Radiant Sports Club (SC) pada aksi pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2013 di Stadium Nasional, Male kelmarin.

Ia diakui jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim.

Menurutnya, beliau akur dengan kekalahan tersebut kerana pasukan tuan rumah lebih banyak menguasai permainan berbanding skuad bimbingannya.

Pada perlawanan tersebut, New Radiant menewaskan Selangor 2-0 menerusi jaringan Niyaz Ahmad dan Fasir Ali pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sebaik tamat masa perlawanan sebenar.

“Tidak banyak ynag boleh saya katakan, kami hanya mampu beraksi selama 90 minit sahaja. Itulah alasan saya.

“Selepas tempoh 90 minit itu, kami mula nampak kepenatan dan pemian sudah mula kehilangan fokus.

“Kami memiliki peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama tetapi nasib tidak menyebelahi Selangor.

“Walaupun kami biasa beraksi 120 minit tetapi kami gagal untuk memberikan aksi lebih bertenaga. Malah, saya terpaksa mengeluarkan Mohd. Amri Yahyah dan Mahalli Jasuli ekoran faktor kepenatan,” katanya.

Tambah Irfan, beliau juga tidak berpuas hati dengan persembahan dua pemain import, Peter Chrappan dan Michal Kubala yang gagal memberikan impak kepada pasukannya.

Katanya, kedua-dua pemain tersebut beraksi buat kali terakhir bersama Selangor pada perlawanan tersebut memandangkan kontrak mereka akan tamat sebaik kempen pada Piala AFC berakhir.

Jelasnya, beliau kini memberikan perhatian kepada aksi Liga Super menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu Sabtu ini.

“Aksi Chrappan dan Kubala tidak begitu menyakinkan dan saya akui kecewa dengan persembahan mereka.
“Kini, kami hanya mahu memberikan fokus untuk aksi liga domestik dengan harapan dapat mengubah kedudukan Selangor dalam carta Liga Super,” katanya. [Kosmo]