Kedua belah kaki Azizan Razak akan dipotong

GEORGE TOWN – Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak akan menjalani pembedahan bagi memotong kedua-dua belah kakinya esok untuk mengelak jangkitan kuman, kata Setiausaha Akhbarnya Mohd. Helmi Khalid.

“Doktor menasihatkan supaya kedua-dua belah kaki Azizan dipotong dari bawah paras lutut.

Kedua-dua isteri dan anak-anak beliau akur dengan nasihat itu selepas perbincangan dilakukan,” katanya di sini hari ini.

Azizan, 69, yang juga pesuruhjaya Pas Kedah dan anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Limau, dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang dari Kedah Medical Centre selepas dirawat kerana jangkitan kuman pada kakinya sejak Isnin.

Keadaan beliau yang dilaporkan kritikal semalam kini stabil.

Anggota Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang melawat Azizan di Hospital Pulau Pinang meminta semua umat Islam melakukan solat hajat dan berdoa agar Azizan cepat sembuh.

Turut menziarah, Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Perlis, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahadzir Khalid dan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin. – Bernama