Juruwang didakwa curi RM504,000

KOTA BHARU – Seorang ketua juruwang wanita sebuah pasar raya dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan melakukan pecah amanah melibatkan wang tunai lebih RM500,000 yang merupakan hasil jualan Pasar Raya Econjaya (Kok Lanas) Sdn. Bhd. dekat sini sekitar Mac dan April tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Lee Goit Siau, 46, tidak mengaku bersalah semasa dihadapkan di depan Hakim Mohd. Yusuff Yunus.

Menurut pertuduhan, Goit Siau sebagai seorang yang diamanahkan untuk mengurus wang kutipan jualan pasar raya berkenaan didakwa melakukan jenayah pecah amanah iaitu menyalahgunakan wang berjumlah RM504,156.32.

Wanita dari Kok Lanas itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di pasar raya berkenaan yang terletak di Kilometer 27, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai antara 4 Mac hingga 18 April tahun lalu.