Jimmy mohon bekas isteri dipenjarakan

SHAH ALAM 7 Mei – Selepas tiga kali gagal bermalam dengan anaknya, pengacara dan pelakon Jimmy Shanley tiada cara lain selain memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah komital bagi memenjarakan bekas isterinya atas dakwaan ingkar perintah mahkamah berhubung hak penjagaan anak mereka.

Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 32, memfailkan permohonan itu terhadap Nursuhaila Eliani Suhaimy, 27, menerusi peguam syarie, Mohd. Noor Aizan Md. Idrus di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Menurut Mohd. Noor Aizan, semenjak Mahkamah Tinggi di sini pada 8 April lalu memutuskan Jimmy diberi hak lawatan dan bermalam selama tiga hari setiap minggu dengan anaknya, Zahrah Rania, anak guamnya itu masih gagal mendapat hak tersebut.

Jimmy turut menyatakan, dia kecewa apabila tiga kali cubaannya mengambil anak tunggalnya itu untuk bermalam bersama tidak mendapat kerjasama daripada Nursuhaila.

‘‘Apabila saya hendak pergi mengambil anak, ada sahaja alasan yang diberikan oleh bekas isteri termasuk alasan berada di luar negara.

‘‘Saya juga telah membuat tiga laporan polis berhubung perkara tersebut,’’ katanya.

Mohd. Noor Aizan turut menyatakan, Nursuhaila telah memfailkan permohonan untuk menggantung perintah mahkamah tersebut dan kes itu akan disebut pada Khamis ini.

Pada 8 April lalu, Hakim Syarie Mawardi Che Man membuat keputusan memberikan hak jagaan penuh anak perempuan tunggal mereka itu kepada Nursuhaila.

Beliau turut memutuskan Jimmy diberi hak lawatan dan bermalam selama tiga hari setiap minggu bersama Zahrah Rania yang kini berusia setahun 10 bulan.

Mahkamah membenarkan Jimmy mengambil anaknya bermula Selasa sehingga Khamis selain kedua-dua pihak diberi hak bergilir-gilir untuk bersama anak mereka pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Jimmy diberi hak bersama anaknya selama tiga hari bermula hari terakhir Ramadan sehingga hari raya kedua.

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua pihak atau pihak ketiga tidak menghalang atau menceroboh pihak terbabit semasa Zahrah Rania berada dalam jagaan pihak berkenaan.

Jimmy dan Nursuhaila serta wakil masing-masing juga diarahkan berbincang mengenai lokasi pengambilan anak mereka dan memaklumkan sesama mereka terlebih dahulu jika ingin berbuat demikian.

Tuntutan hadanah itu difailkan Nursuhaila terhadap Jimmy pada 18 Oktober 2011.

Jimmy bagaimanapun mempertikai kelayakan Nursuhaila untuk menjaga anaknya kerana mendakwa plaintif mempunyai akhlak buruk antaranya suka berjudi, minum arak, berhibur dan merokok.

Jimmy dan Nursuhaila diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh dengan hantaran RM31,186.

Mereka sah bercerai talak satu secara khuluk (tebus talak) berjumlah RM1 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 10 Oktober tahun lalu.