Jerman cemerlang, England hanya mampu seri

BOCA RATON, Florida 30 Mei – Jerman menunjukkan taringnya dengan membelasah Ecuador 4-2 dalam aksi bola sepak persahabatan di sini, hari ini.

Dua gol masing-masing dari Lukas Podolski dan Lars Bender meletakkan Jerman mendahului 4-0 dalam tempoh 28 minit.

Ecuador yang berada di ranking ke-10 FIFA dan kedua di Amerika Selatan bangkit dengan satu jaringan sebelum tamat babak pertama menerusi pemain Manchester United, Antonio Valencia dan menambah jaringan pada minit ke-84 menerusi Walter Ayovi.

Jerman selepas ini akan menentang Amerika Syarikat yang dibimbing oleh Juergen Klinsmann.

Sementara itu di London, England dan Ireland seri 1-1 dalam aksi bola sepak persahabatan di Stadium Wembley hari ini.

Shane Long meletakkan pasukan pelawat di depan sebelum Frank Lampard menyamakan kedudukan.
England mendominasi sebahagan besar permainan, namun gagal menambah jaringan gol.

Ini adalah kali pertama kedua-dua negara bertemu selepas kali terakhir pada 1995 di Dublin, yang mana perlawanan itu terpaksa dibatalkan ekoran berlakunya keganasan penonton. – Agensi