Harun digantung 10 tahun

BEKAS ketua jurulatih olahraga, Harun Rasheed Othman dikenakan hukuman gantung selama 10 tahun bermula 12 September 2011 selepas didakwa terlibat dengan kontroversi enam atlet yang tidak mengikuti ujian anti doping, dua tahun lalu.

Lima atlet yang terlibat iaitu empat daripada kuartet 4×100 meter wanita, Norjannah Hafiszah Jamaludin, Nurul Sarah Abdul Kadir, Siti Zubaidah Adabi, Yee Yi Ling serta pelari pecut, Mohamad Noor Imran Hadi digantung dua tahun bermula 24 Mei tahun ini.

Begitupun, seorang lagi atlet kuartet 4×100 meter, Siti Fatimah Mohamad yang memberi kerjasama untuk membantu siasatan digantung selama 18 bulan bermula tarikh yang sama.

Menurut Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Zainal Abidin Ahmad, hukuman tersebut dikenakan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) ekoran rayuan Agensi Anti Doping Dunia (WADA) pada 7 Mei tahun lalu.

“Permintaan rayuan (WADA) telah dibenarkan oleh CAS, keputusan yang telah diambil oleh KOM pada 2 Februari 2012 telah diketepikan dan para atlet digantung bermula tarikh keputusan ini dikeluarkan (25 Mei 2013).

“Selain itu, semua pertandingan yang disertai atlet-atlet ini sejak 24 Mei 2011 tidak diiktiraf sehingga tarikh pergantungan berakhir, termasuk juga kemenangan yang diraih,” kata Zainal Abidin ketika mengadakan sidang akhbar di Bukit Jalil semalam.

Keputusan yang telah diambil KOM pada 2 Februari tahun lalu menyaksikan Harun Rasheed digantung selama setahun, manakala para atlet diberikan amaran keras.

WADA ternyata tidak berpuas hati dengan hukuman tersebut sebelum mengheret kes berkenaan ke CAS.

Mengikut peraturan WADA, atlet-atlet yang tidak hadir pada ujian anti doping sekurang-kurangnya perlu dikenakan hukuman penggantungan selama dua tahun.

Kontroversi enam atlet itu bermula selepas mereka gagal menjalani ujian anti doping biarpun diarahkan memberikan sampel air kencing di Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil pada 24 Mei lalu.

Ujian tersebut merupakan salah satu prosedur sebelum menjalani latihan di luar negara.

Hukuman tersebut turut menyaksikan pingat gangsa pada Sukan SEA 2011 yang diraih oleh kuartet 4×100 meter, Noor Imran bersama tiga lagi rakannya, Mohd. Zabidi Ghazali, Mohd. Ikhwan Nor dan Moh. Azhar Ismail akan dibatalkan.

Terdahulu, Malaysia kehilangan pingat emas acara 4×400 meter lelaki negara yang diraih Mohd. Yunus Lasaleh, S. Kannathasan, Schezuan Ahmad Rosely dan P. Yuvaraj pada Sukan SEA 2011 serta gangsa acara angkat angkat berat menerusi Firdaus Abdul Razak (94-105 kilogram lelaki clean & jerk).

Ia gara-gara keputusan ujian anti doping terhadap Mohd. Yunus dan Firdaus telah disahkan positif pada Sukan SEA Indonesia dua tahun lalu.

Sementara itu, Zainal turut memberitahu bahawa KOM juga dikenakan denda sebanyak RM16,009 bagi perbelanjaan yang berkaitan dengan rayuan yang dilakukan WADA tersebut.

“Pihak CAS juga telah membuat keputusan segala perbelanjaan mengenai kes ini harus ditanggung oleh KOM. Kita perlu membayar (RM16,009) untuk WADA kerana membangkitkan isu ini kepada CAS,” tambah Zainal.