Harimau Muda semakin luka

‘LUKA’ Harimau Muda sepanjang ‘berguru’ di bumi Slovakia semakin parah selepas dikecewakan kelab Divisyen Satu Slovakia, Nitra FC dengan kekalahan 0-2 dalam aksi persahabatan terbaharu mereka di sana baru-baru ini.

Ternyata, rentetan kegagalan memburu kemenangan sulung di sana menjadi bukti perbezaan ketara antara skuad muda negara dengan pasukan Eropah yang diibaratkan sebagai ‘langit dan bumi’ dan ia diakui jurulatih, Ong Kim Swee.

Dalam perlawanan itu, keghairahan pemain Harimau Muda memburu gol penyamaan sebaik ketinggalan satu gol akhirnya dihukum lawan yang berjaya menggandakan kelebihan menerusi jaringan kedua pada penghujung perlawanan.

“Kekalahan itu menggambarkan kualiti dan disiplin yang dimiliki pemain Eropah jelas berada pada tahap berbeza.

“Kami tewas menerusi percubaan jarak jauh pihak lawan manakala kebijaksanaan mereka menghukum kami ketika memburu gol penyamaan seharusnya dipelajari dengan positif,” kata Kim Swee menerusi Twitter peribadinya kelmarin.

Untuk rekod, ia merupakan kekalahan keenam skuad Harimau Muda sepanjang menimba ilmu di Eropah setakat ini.

Selain tumpas 0-3 dan 0-4 kepada dua kelab Hungary, Kapos- vari FC dan FGSZ Siofok, mereka juga tewas sebanyak dua kali dalam dua pertemuan dengan kelab Slovakia, MSK Zilina (1-4 dan 2-3) serta dibelasah 1-7 oleh skuad bawah 21 tahun (B-21) Georgia.

Selain itu, taring Harimau Muda juga tampak tumpul apabila sekadar melakar keputusan seri 1-1 dengan skuad B-19 Slovakia serta terikat tanpa jaringan ketika berdepan skuad B-19 Norway sebelum ini.

Malaysia U23 0-0 Velke Ludince,
Malaysia U23 1-1 Slovakia U19,
Malaysia U23 1-7 Georgia U21,
Malaysia U23 1-4 MSK Zilina U21,
Malaysia U23 0-0 Norway U19,
Malaysia U23 2-3 MSK Zilina U21,
Malaysia U23 0-4 FGSZ Siófok ,
Malaysia U23 0-3 Kaposvári Rákócz FC,
Malaysia U23 0-2 FC Nitra

Siri ujian persahabatan itu merupakan medan pemanas badan skuad muda negara sepanjang ‘berguru’ selama lima bulan di Eropah sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA 2013 di Myanmar penghujung tahun ini.

Selain dijadualkan mengharungi Pestabola Merdeka (Ogos), skuad Harimau Muda juga bakal membawa cabaran negara pada tema- sya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 di Kazan, Rusia dari 6 hingga 17 Julai depan dan hanya kembali ke tanah air sebelum Aidilfitri.

Selepas ini, anak-anak buah Kim Swee hanya menjalani latihan intensif selama dua minggu di Slovakia sebelum bertolak ke Republik Czech pada pertengahan bulan ini bagi mengharungi beberapa lagi aksi persahabatan di sana.