Hanya Bale layak ganti Ronaldo – Ramos

SEPANYOL – Gareth Bale didesak oleh pemain bintang Real Madrid, Sergio Ramos agar menyertai kelab gergasi Sepanyol itu.

Madrid kini terdesak untuk mendapatkan Bale dari Tottenham dengan harga 60 juta pound (RM274.3 juta).

Malah Ramos turut memberitahu Bale adalah pemain yang amat diperlukan oleh Madrid bagi menghadapi saingan musim depan.

“Gareth Bale adalah pemain yang amat berkualiti untuk Real Madrid harus memilikinya.

“Dia adalah pemain yang mempunyai kelebihan luar biasa dan dia boleh menghukum mana-mana pasukan di dunia ini. Kelebihan dimiliki pemain tersebut adalah kualiti yang diingini oleh Real Madrid.

“Saya pasti bukan sahaja Madrid yang inginkan pemain tersebut tetapi kelab lain turut mempunyai keinginan sama,” kata Ramos.

Madrid ketika ini memandang Bale sebagai aset paling berharga dalam dunia bola sepak selain dianggap antara pemain yang layak untuk menggantikan Cristiano Ronaldo.

Ronaldo dikhabarkan akan berpindah ke Chelsea atau Manchester United.

Kelab Sepanyol itu turut yakin mampu untuk memiliki Bale berikutan Tottenham gagal untuk melangkah ke saingan Liga Juara-Juara pada musim depan.

Bagaimanapun, Bale sebelum ini telah memberitahu bahawa dia sudah bersedia untuk membantu pasukannya kembali menyinar selepas menandatangani kontrak baru selama empat tahun dengan Tottenham menerusi gaji 150,000 pound seminggu (RM686,000). – AGENSI