Hamidin terlepas peluang lagi?

PETALING JAYA – Jika sebelum ini nama Datuk Hamidin Mohd. Amin disebut-sebut akan menjadi Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu, namun nampaknya perkara itu belum tentu menjadi kenyataan.

Semalam, penyandang jawatan berkenaan, Datuk Azzuddin Ahmad yang disebut-sebut berpindah ke Persatuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) pada 1 Jun ini, menjelaskan kemungkinan akan berlaku kejutan sekali lagi sebagaimana pelantikannya pada enam tahun lalu yang mengejutkan ramai pihak walaupun bukan calon pilihan.

Ketika menjawab soalan daripada pihak media, Azzuddin tidak menafikan situasi sama boleh terjadi kerana jawatan berkenaan adalah atas pertimbangan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.
“Kita dah tahu kejutan yang kebiasaannya akan dilakukan oleh Tuanku Presiden, jadi sama-samalah kita nantikan siapakah yang menjadi pilihan.

“Pada masa ini, semua pihak perlu faham calon bersesuaian akan dilantik mengikut pertimbangan baginda. Malahan, buat masa ini saya sendiri pun belum pasti berapa lama lagi saya akan berada di sini kerana semuanya bergantung kepada pertimbangan baginda dan sama-samalah kita tunggu keputusannya,” katanya ketika ditemui selepas majlis perjanjian persefahaman (MoU) antara Utusan Malaysia dan Astro Arena di Wisma FAM di sini, semalam.

Pada tahun 2007, Hamidin pernah dilihat calon popular untuk mengisi kekosongan jawatan itu setelah peletakan jawatan Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad tetapi Azzuddin yang menjadi pilihan Sultan Ahmad Shah dan situasi yang sama turut berlaku pada tahun 2005.

Jika itu terjadi, adakah beliau yang dikenali sebagai antara pemimpin bola sepak ‘mesra media’ itu akan terlepas peluang sekali lagi?

Ini kerana, satu lagi nama yang tiba-tiba muncul ialah Windsor Paul John yang merupakan Pengarah Pertandingan Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) difahamkan ditemuduga selain Hamidin.