Guru tadika hilang RM12,330 ditipu ‘Datuk’

Alor Gajah: Seorang guru KEMAS di sini, mendakwa kerugian lebih RM12,000 selepas ditipu seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ bagi membeli rumah menerusi skim Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Zanariah Ismail, 37, mendakwa menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang individu mengenai tawaran itu sebelum berhubung dengan lelaki berkenaan yang bergelar ‘Datuk’ pada 3 April lalu.

Ibu kepada tiga anak itu yang teruja untuk memiliki rumah sendiri, menghubungi ‘Datuk’ berkenaan yang mendakwa dirinya Pengarah PR1MA di Melaka.

Wanita itu diberitahu dia layak untuk mendapat rumah skim berkenaan.

“Datuk itu kemudian mengarahkan saya memasukkan wang sebanyak RM5,635 sebagai deposit. Pembayaran pertama dibuat melalui satu akaun yang diberikan Datuk berkenaan dan tidak lama selepas itu, dia diminta membuat satu lagi bayaran berjumlah RM2,000 sebagai yuran guaman,” katanya di sini, semalam.

Zanariah mendakwa, pada hari berikutnya dia diminta memasukkan wang ke akaun berkenaan sebanyak RM257, kononnya untuk duti setem, selain beberapa bayaran lain bagi memproses borang permohonan.

Minta datang ke SPNB

Pada akhir April lalu, dia menerima SMS daripada ‘Datuk’ berkenaan meminta datang segera ke Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Putrajaya bagi menandatangani surat perjanjian PR1MA.

“Bagaimanapun, beberapa hari selepas itu, dia (Datuk) menghubungi saya dan dengan nada sedih mendakwa ibunya meninggal dunia serta memberitahu memerlukan sedikit wang. Selepas itu, sedikit demi sedikit wang saya diberikan kepadanya sebelum tersedar sudah kerugian sebanyak RM12,330,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, mengesahkan menerima laporan daripada wanita berkenaan.

“Siasatan awal mendapati tawaran skim PR1MA belum dilaksanakan di negeri ini dan tiada sebarang tawaran dibuat untuk pemilikan rumah berkenaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.