Guru silat dan anak parah ditetak

Alor Setar: Tindakan berani seorang guru silat dan anak lelakinya bergelut dengan sekumpulan penyamun yang memecah masuk sebuah stor barangan pertanian di hadapan rumah mereka mengundang padah apabila kedua-duanya parah seluruh badan akibat ditetak menggunakan parang, semalam.

Kejadian berlaku jam 6 pagi di Kampung Gelam, Jalan Datuk Kumbar, di sini, apabila dua beranak itu cuba melawan kumpulan tiga lelaki yang memasuki stor milik seorang peniaga yang menyewa tanah milik penduduk kampung berkenaan.

Difahamkan, Mohd Iqbal Abdul Rahman, 18, menunggang motosikal untuk ke tempat kerja di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Anak Bukit, di sini sebelum ternampak pintu stor itu terbuka lalu menghubungi bapanya, Abdul Rahman Hashim, 51, untuk memaklumkan kejadian.

Mohd Iqbal berhenti di depan stor pertanian itu untuk melihat apa yang berlaku dan tiba-tiba diserang tiga lelaki bersenjatakan parang sebelum bapanya muncul bagi memberi bantuan, tetapi turut menerima nasib sama kerana berlaku pergelutan.

Saksi Jamaludin Ahmad, 56, berkata, ketika kejadian dia sedang bersiap untuk membuka gerai makan di hadapan rumahnya yang hanya terletak 80 meter dari tempat kejadian.

Katanya, ketika itu dia terdengar bunyi riuh-rendah di tepi jalan, tetapi tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka penduduk berhampiran bergurau sesama mereka.

“Pada masa sama, saya ternampak kereta Perodua Kancil dipandu laju dengan keadaan but belakangnya terbuka luas dan ketika itu saya mengesyaki sesuatu mencurigakan.

“Hati saya terdetik untuk melihat apa yang berlaku kerana keadaan ketika itu masih gelap. “Tidak lama kemudian, saya terdengar suara Mohd Iqbal meminta tolong dan memberitahu dia serta bapanya ditetak sekumpulan penjenayah.

“Saya membawanya yang berlumuran darah di muka, kepala dan tangan ke rumah mereka selain mencari bapanya yang sudah pulang lebih awal untuk mencuci darah di tangan,” katanya.

Katanya, dia mendapati Abdul Rahman tidak bermaya, malah mangsa memberitahu pening dan hampir pitam akibat kehilangan banyak darah.

Menurutnya, mereka mengejutkan isteri mangsa Halijah Mohd Nor, 40-an untuk membawa mangsa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Keadaan dua beranak itu kini dilaporkan stabil dan masih dirawat di HSB.

Jiran mangsa Husin Mat, 53, berkata, kejadian itu kali pertama berlaku di kampung berkenaan kerana sebelum ini tidak pernah berlaku kegiatan jenayah.

Katanya, dia terkejut sebaik dimaklumkan Abdul Rahman yang juga anak saudaranya ditetak penyamun menyebabkan dia bergegas untuk melihat keadaannya, tetapi dua beranak itu sudah dihantar ke HSB akibat kecederaan serius.

“Saya rasa mungkin niat suspek hendak membunuh dua beranak apabila terus mengambil parang dan menetak mereka kerana bimbang dicam, tetapi syukurlah mereka selamat,” katanya.

Sementara itu, pemilik stor Tan Boong Heong, 35, berkata, dia hanya menyedari kejadian pada jam 6.30 pagi selepas dihubungi penduduk kampung.

Katanya, dia kerugian RM10,000 apabila puluhan botol vitamin padi hilang dan ini kali pertama berlaku sejak 15 tahun membuka stor di situ.

“Saya tak sangka niat baik dua beranak itu mengundang padah hingga menyebabkan mereka ditetak penyamun yang tidak mempunyai perasaan,” katanya.