Gladiators terus hambat Lions

Kuala Lumpur: Perebutan takhta Liga Super semakin memuncak dengan dua pasukan saling bertukar posisi, namun Lions XII kembali mengukuhkan cengkaman selepas menewaskan T-Team 3-0 di Stadium Jalan Besar, malam tadi.

Skuad kendalian V Sundramoorthy itu bagaimanapun terpaksa merampas kembali tangga teratas liga selepas dipintas seketika Tentera yang terdahulu merakam kemenangan 1-0 ke atas FELDA United di Stadium MBPJ pada sebelah petang.

Kapten Lions XII, Shahril Ishak membuka jaringan seawal minit kesembilan diikuti dua lagi gol babak pertama oleh Shakir Hamzah dan Fazrul Nawaz pada minit ke-28 dan 35 untuk selesa mendahului 3-0 sebaik tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, anak buah Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor cuba untuk bangkit merapatkan jurang tetapi gawang tuan rumah yang dikawal ketat Izwan Mahbud ternyata begitu sukar ditembusi. T-Team kekal di tangga kedua tercorot dengan 12 mata selepas 17 perlawanan.

Hai-O wira

Sebelum itu aksi Tentera di Stadium MBPJ, Kelana Jaya menyaksikan anak buah B Sathianathan melonjak ke tangga teratas liga untuk beberapa jam sahaja selepas Hairuddin Omar menanduk masuk bola sepakan percuma Rezal Zambery Yahya pada minit ke-10 ketika menewaskan FELDA United 1-0.

“Kita berada di laluan terbaik, kita ada kemampuan untuk mencabar kejuaraan,” kata Hairuddin. “Tidak mustahil kita boleh mencipta kejutan dengan muncul juara sekiranya prestasi ini dikekalkan hingga akhir musim.”

Tentera, berbaki lima perlawanan musim ini, ketinggalan satu mata di belakang Lions XII yang masih mempunyai enam perlawanan untuk diharungi.