Farizal pikul tugas berat hadapi JDT

Kuala Lumpur: Sejauh mana kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mencabar kedudukan peneraju Liga Super LionsXII bakal teruji apabila berdepan perlawanan cukup getir menentang Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Abdul Rahman Paroi malam ini.

Ia pertembungan cukup penting buat kedua-dua pasukan untuk memberi tekanan ke atas pasukan dari Singapura itu yang akan turun lebih awal hari ini menentang Terengganu di gelanggang lawan.

Johor DT yang dikendalikan Fandi Ahmad mungkin cemas dengan kekalahan 0-3 kepada Perak dalam perlawanan terakhir liga, namun penjaga gol ATM, Mohd Farizal Harun tetap menegaskan aksi malam ini bukanlah semudah disangkakan.

Ini kerana dia menjangkakan skuad The Gladiators perlu berkerja keras khususnya di bahagian pertahanan untuk menyekat jentera serangan pasukan pelawat yang dibarisi pemain bintang tempatan dan luar negara.

“Saya jangkakan pertemuan dengan Johor (DT) ini pasti sengit. Mereka mempunyai pemain penyerang bagus seperti Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha), Safee (Sali) dan penyerang baru (Leonel Nunez).

“Jadi pemain pertahanan perlu kerja lebih untuk menghalang mereka tapi saya yakin kami mempunyai pemain pertahanan yang berpengalaman seperti Shukur Adan dan Irwan Fadly (Idrus) yang boleh memberi arahan kepada pemain-pemain lain di atas padang,” katanya.

ATM yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan B Sathianathan kini beraksi lebih satu perlawanan berbanding LionsXII selepas mengalahkan T-Team 1-0 untuk menduduki tangga kedua liga dengan mengumpul 27 mata, satu mata di belakang pendahulu liga itu.

Bagi Farizal mereka tidak mahu menjadikan faktor kecergasan menjadi alasan bagi mereka mengutip tiga mata penuh menentang pasukan lawan yang berehat lebih panjang selepas tidak beraksi minggu lalu.

“Jurulatih memberi pemain-pemain cuti rehat selama dua hari dan saya rasa ia cukup untuk kami kembali cergas. Kami perlu menang perlawanan esok (hari ini) kerana kami tidak boleh ketinggalan jauh dengan LionsXII,” katanya.

Saksikan secara streaming perlawanan ini di sini.