Fandi terdesak cari ramuan terbaik

Johor Bahru: Sudah terbit rasa gelisah pada wajah ketua jurulatih, Fandi Ahmad di sebalik misi memburu tiga mata menjelang pertemuan menentang PKNS Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam ini.

Apa yang jelas pengendali berkenaan tidak dapat menyembunyikan perasaan itu ketika terdesak mencari ramuan terbaik memantapkan barisan pertahanan selepas Aidil Zafuan Abd Radzak masih belum pulih daripada kecederaan dan mungkin diketepikan.

Aidil Zafuan (Abd Radzak) belum berada di tahap kecergasan memuaskan dan masih cedera sejak dialami ketika bersama skuad kebangsaan. Saya terpaksa buat rombakan mengukuhkan benteng pertahanan.

Mungkin Ahmad Tharmimi Saiban akan beraksi pada perlawanan malam esok (malam ini) dan saya akan pastikan benteng pertahanan tidak lagi goyah memandang tiga mata amat penting buat Johor DT kembali ke landasan kemenangan mengejar kelompok tiga teratas liga.

Perlu maklum balas

Keadaan Nurul Azwan Roya juga belum dipastikan lagi sama ada dapat diturunkan kerana dia juga mengalami kecederaan. Saya perlu mendapat maklum balas daripada pegawai fisioterapi berhubung kecergasan pemain itu. Apa pun jika terpaksa mengubah formasi saya akan lakukan, katanya.

Aksi menentang PKNS Selangor amat penting buat skuad Harimau Selatan tatkala beraksi di laman sendiri selepas dipalit dengan dua kekalahan iaitu tewas kepada Tentera 2-0, Selasa lalu dan kecundang kepada Perak 3-0, 27 April menyebabkan skuad itu jatuh ke tangga kelima.

Kehadiran semula pemain import, Andre Francisco Da Silva turut melegakan Fandi dan mengesahkan pemain dari Brazil itu akan berada dalam kesebelasan utama dan akan menjadi pengerak utama di posisi tengah dan perlu menyekat kelicikan bintang PKNS Selangor, Nazmi Faiz Mansor.

Kami harus berwaspada kerana PKNS Selangor mendapat tonik terbaik selepas menang 2-1 ke atas T-Team dan mereka pasti mahu menghalang hajat besar Johor DT buru kemenangan. Saya mahu pemain Johor DT tidak leka sepanjang 90 minit perlawanan, kata Fandi.

Saksikan live stream jam 8:45 malam di sini