FA mahu Beckham kekal

LONDON – Persatuan Bola Sepak England (FA) semalam menggesa David Beckham agar kekal bersama England dan memegang jawatan penting dalam badan itu. 

Beckham, 38, mengumumkan persaraannya daripada arena bola sepak kelmarin.

Sejurus selepas pengumuman tersebut dibuat, Pengerusi FA, David Bernstein segera memanggil bekas kapten Three Lions itu untuk memegang ‘watak penting bola sepak Inggeris’.

Malah, pengurus skuad kebangsaan, Roy Hodgson turut menegaskan, Beckham harus diberi peranan besar sebaik sahaja dia menggantung but pada akhir musim nanti.

“Dia adalah tokoh ikonik dalam bola sepak, kalau dia mahu melakukan sesuatu (selepas bersara) maka ada peluang buatnya untuk mengetuai bola sepak negaranya.

“Sebagai duta FA dan bola sepak Inggeris, saya tidak boleh memikirkan orang lain yang lebih layak selain daripadanya.

“Dia pemain yang hebat, terutama ketika berada di Manchester United.

“Sumbangannya kepada England sangat besar dan anda tidak boleh nafikan, dia sentiasa mahu melakukan yang terbaik untuk negaranya,” kata Bernstein.

Beckham, yang telah memenangi 21 kejuaraan sepanjang kariernya bagaimanapun sering menegaskan bahawa dia tidak berminat untuk beralih ke bidang pengurusan, sebaliknya lebih suka melatih kanak-kanak selepas mengakhiri kariernya.

Bekas bintang tengah United, Real Madrid, AC Milan, Paris Saint German dan LA Galaxy itu telah membuat 115 penampilan bersama England, dan dilantik sebagai Duta Piala Dunia 2016 serta Sukan Olimpik London 2012. – AGENSI