David Moyes disebut pengganti Ferguson

London: Syarikat pertaruhan pantas menamakan pengurus Everton David Moyes sebagai pilihan utama menggantikan Alex Ferguson yang mengumumkan untuk bersara sebagai pengurus Manchester United semalam selepas 26 tahun membimbing kelab itu meraih pelbagai kejayaan.

Moyes menjadi pilihan utama syarikat pertaruhan Britain sejurus selepas pengumuman Ferguson yang disiarkan dalam laman web rasmi kelab itu.

Moyes yang turut berasal dari Scotland sudah melalui karier lebih sedekad bersama kelab Merseyside itu yang mempunyai bajet lebih rendah berbanding United.

Pengurus Real Madrid Jose Mourinho, juga dikaitkan dengan jawatan itu.

Pengendali dari Portugal itu turut dikatakan akan kembali membimbing Chelsea selepas tidak sehaluan dengan beberapa pemainnya di Sepanyol sekali gus menyaksikan pemergiannya tidak boleh dielakkan lagi.

Moyes dan Mourinho dikenali kerana hubungan akrab dengan Ferguson yang akan memikul tugas sebagai pengarah dan duta selepas membimbing kelab buat kali terakhir bertemu West Brom pada 19 Mei ini.

Beberapa bekas pemain Manchester United di bawah bimbingan Ferguson turut berada dalam senarai syarikat pertaruhan.

Gary Neville, Eric Cantona, Laurent Blanc, Roy Keane dan Ole-Gunnar Solskjaer adalah antara yang dikaitkan, begitu juga dengan gandingan pemain tengah ketika ini Ryan Giggs dan Paul Scholes. [Reuters]