Crystal Palace naik ke Liga Perdana

LONDON – Crystal Palace bakal menyertai Cardiff dan Hull City bermain dalam saingan Liga Perdana England musim depan selepas menang tipis 1-0 ke atas Watford dalam perlawanan playoff di Stadium Wembley kelmarin.

Penyerang veteran Palace, Kevin Phillips muncul wira apabila dia menyempurnakan sepakan penalti ketika kedua-dua pasukan terpaksa bertarung dalam masa tambahan selepas terikat 0-0 pada masa sebenar.

Jaringan itu pastinya tidak akan dilupakan kerana ia merupakan hadiah hari jadi ke-40 paling bermakna buat Phillips yang akan disambut hampir dua bulan lagi.

Pengurus Palace, Ian Holloway turut berkongsi kegembiraan itu selepas terlepas peluang yang sama musim lalu ketika beliau membimbing Blackpool yang tewas kepada West Ham United.

Penjaga gol Watford, Manuel Almunia beraksi cemerlang sepanjang perlawanan sebenar dan dia juga sudah menjatuhkan badan ke arah bola ketika Phillips menyepak sepakan penalti tersebut, namun tangan kanannya gagal menampan bola yang terlalu kuat itu.

“Apabila dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, saya memang berniat untuk mengambilnya kerana saya yakin mampu menyempurnakannya. Saya juga tidak pasti sama ada itu adalah perlawanan terakhir saya,” kata Phillips.

Selain itu, Phillips turut berterima kasih dengan rakan sepasukannya, Wilfried Zaha yang merupakan aksi terakhirnya bersama kelab itu dan akan menyertai Manchester United pada musim depan.

“Sumbangan Zaha sangat besar buat kami musim ini dan dia bersungguh-sungguh ingin membantu kami naik ke Liga Perdana dahulu sebelum dia keluar menyertai Manchester United.

Sepakan penalti yang diperoleh Palace itu juga berpunca daripada Zaha yang melarikan bola ke dalam kotak penalti Watford sebelum dia dijatuhkan pemain pertahanan lawan. – Agensi