Chelsea ke final Piala Eropah

Chelsea mara ke perlawanan akhir dengan agregat 5-2 dari perlawanan separuh akhir dengan Basel.

Chelsea mara ke perlawanan akhir Liga Europa untuk kali pertama dengan kemenangan 3-1 atas Basel hasil jaringan Fernando Torres, Victor Moses dan David Luiz.

Mohamed Salah menjaringkan gol pembukaan pada minit ke 45 untuk juara bola sepak Switzerland itu tetapi Fernando Torres dan Victor Moses bertindak dengan jaringan gol masing-masing dalam babak kedua.

David Luiz kemudian menjaringkan gol terakhir dan menjaminkan tempat dalam perlawanan akhir pada 15 Mei nanti di Amsterdam dalam pertemuan dengan kelab lamanya, Benfica.

Chelsea kini dijangka dapat mencapai dua matlamat penting yaitu kemenangan trofi Liga Europa serta tempat dalam Liga Juara Juara musim depan yang akan ditentukan dengan perlawanan Manchester United dan Tottenham selepas itu.

Hanya Juventus, Ajax dan Bayern Munich yang pernah merangkul kemenangan dalam ketiga-tiga kejohanan UEFA dan harapan Chelsea untuk menjadi kelab keempat agak cerah.
Basel mula perlawanan dengan gerakan serangan dan mengancam hasil percubaan Marco Streller dalam minit pertama.

Percubaan Lampard kemudian terkena tiang sementara Moses mensia-siakan peluang baik selepas itu.
Penjaga gol Yann Sommer menghalang Torres sebelum menyelamatkan percubaan Eden Hazard.

Saingan sengit antara kedua-dua pasukan tidak menghasilkan gol hingga masa kecederaan hasil rembatan Salah dari hantaran tepat Stocker.

Chelsea bertindak awal dalam babak kedua dari gerakan yang dimulakan oleh Hazard.
Lampard merembat bola dan walaupun Sommer berjaya menghalangnya, Torres menyepak masuk bola dengan gawang terbuka.

Tiga minit kemudian, Chelsea mendapat gol kedua apabila Moses memecut dari sayap kiri dan berganding dengan Torres.

Penyerang Sepanyol itu melepasi pemain pertahanan sebelum memberi bola kepada Moses yang menyepak masuk gol kedua pasukannya – gol ini adalah yang keempat baginya dalam empat perlawanan Liga Europa.

Lampard mencipta gol ketiga dengan hantaran kepada Luiz sebelum pemain Brazil itu melepaskan rembatan deras dengan kaki kirinya untuk gol terakhir Chelsea.