BWF pilih Hoyer- Larsen

Kuala Lumpur: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memilih bekas pemain Denmark yang juga Presiden Persatuan Badminton Eropah, Poul-Erik Hoyer-Larsen untuk tempoh 2013-2017, mengetepikan pencabar tunggal dari Indonesia, Justian Suhandinata.

Pemilihan yang dilakukan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Hotel Double Tree, Kuala Lumpur semalam menyaksikan seramai 150 ahli persatuan gabungan BWF hadir.

“Visi utama saya, mahu pastikan badminton kekal sebagai acara yang dipertandingkan di Olimpik biarpun selepas tamat kontrak 2016. saya juga mahu naikkan kedudukan sukan badminton di peringkat Olimpik dari 13/14 ke kedudukan yang lebih baik,” kata Erik.

Erik mengatasi Justian dengan kemenangan 145-120, juga mendapat Timbalan Presiden baru, Gustavo Salazar Delgado yang menewaskan bekas timbalan, Paisan Rangsikitpho 148-118.

Bekas Presiden, Dr Kang Young Joong berkata: “Badminton bertukar kepada pakar yang semuanya bekas pemain, saya lega kerana melepaskan jawatan ini kepada pihak yang betul.” Begitupun beberapa pemain Eropah menganggap kemenangan Erik ini seperti bencana kepada pemain badminton Eropah.

“Erik menang bermakna hanya Denmark akan mendapat manfaat. Saya tidak nampak mereka akan menaikkan badminton kerana sewaktu mengepalai badminton Eropah, tiada apa yang menguntungkan kami sebagai pemain,” kata Koen Ridder dari Belanda.