Buta tidak halang pemuda berenang rentasi selat Pulau Pinang

BUTTERWORTH – Seorang pemuda cacat penglihatan berjaya berenang merentasi Selat Pulau Pinang sejauh lima kilometer dari Jeti Marina, George Town ke Kawasan Rehat dan Rawat Bagan Ajam, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth di sini pagi semalam.

Walaupun terpaksa menahan sakit akibat disengat obor-obor dan mengharungi ombak kuat, Faiq Adnan, 23, berjaya menamatkan renangan tersebut dalam masa dua jam 20 minit 35 saat.

Dia yang merupakan pelajar tahun dua jurusan Kesusasteraan Melayu Universiti Malaya memulakan renangan dari jeti berkenaan kira-kira pukul 9 pagi dengan diiringi jurulatihnya, Datuk Ooi Win Juat.

“Saya harap selepas ini ada pihak tampil membantu dan menyokong impian saya menakluki Selat Inggeris pula,” kata Faiq Adnan, 23.

Pemuda cacat penglihatan itu menyasarkan dapat merealisasikan impian itu pada awal 2015 sebagai bukti tiada halangan kepada orang kelainan upaya (OKU) setanding dengan insan normal.

Menurutnya, Selat Inggeris menjadi sasaran berenang secara solo dalam tempoh dua tahun lagi sebagai pelengkap kepada dirinya memperjuangkan nasib OKU.

“Apa yang saya buat bukan mencari populariti, tetapi mewakili golongan senasib bagi membuktikan apa yang orang normal mampu buat, kami juga boleh lakukan.

“Saya mahu OKU terus bersemangat walaupun bentuk fizikal ada kekurangan berbanding orang lain,” katanya.

Ketibaan Faiq kira-kira pukul 11.20 pagi di sini disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom), Mohammed Shukor Ismail dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang (JBSPP), Zakaria Kasa.

Turut menyambut ketibaannya ialah Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (Pesron) Pulau Pinang, Tiun Ling Ta, kedua ibu bapanya, Adnan Yusof, 62, dan Norhayati Mohd. Isa, 57, serta kira-kira 200 orang yang menunggu sejak pukul 10 pagi.