Bekas pemain sendiri kecewakan Kelantan

Johor Bahru: Johor Darul Takzim (DT) melonjak ke tangga kedua untuk mencabar pendahulu liga, LionsXII selepas menjinakkan Kelantan 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi.

Pertembungan Johor DT dan Kelantan terpaksa dimulakan lewat 40 minit apabila pegawai perlawanan dan pihak berkuasa bertungkus-lumus mengasingkan penyokong Johor DT dan Kelantan selepas salah seorang penyokong mengalami kecederaan di kepala akibat terkena balingan objek hingga segelintir penyokong skuad Harimau Selatan terpaksa diletakkan di trek stadium bagi menjamin keselamatan mereka.

Tanpa menunggu lama, skuad Harimau Selatan bertali arus mengasak ke kubu The Red Warriors dan hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-21 selepas rembatan Nurul Azwan Roya ditampan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat biarpun bola muntah cuba dicabar Safee Sali.

Tersentak dengan percubaan tuan rumah, The Red Warriors yang beraksi tanpa kelibat tiga tonggak utama, Mohd Badhri Radzi, Indra Putra Mahiyuddin dan Norfarhan Mohammad dan berada di bangku simpanan hampir mencemaskan gawang skuad Harimau Selatan selepas bola rembatan Zairo Anuar Zailani pada minit ke-24 hanya sipi dari pintu gol.

Ketika aksi memasuki minit ke-31 peluang terbaik Kelantan mencipta jaringan dipersia-siakan Harris Safwan, berpunca daripada lorongan Ahmad Fakri Sharani yang ditampan penjaga gol tuan rumah, Mohd Al-Hafiz Hamzah.

Ketika babak pertama semakin hampir penghujung, Leonel Nunez terlepas peluang merobek gawang pelawat apabila bola tandukannya pada minit ke-41 dan disusuli seminit kemudian hanya sipi dari gawang selain tindakan pantas Khairul Fahmi menghalang bola daripada menerjah ke jaring.

Bermula babak kedua, skuad Harimau Selatan begitu rakus mengasak ke kubu Kelantan dan ketika aksi memasuki minit ke-65, gol yang dinantikan ketua jurulatih Johor DT, Fandi Ahmad menjelma menerusi rembatan deras Norshahrul Idlan Talaha dari luar kotak penalti yang menewaskan Khairul Fahmi.

Selang tiga minit kemudian gol kedua terhasil buat tuan rumah apabila Nurul Azwan yang berada di sudut sukar bertindak melencongkan bola yang menerjah ke jaring bagi menewaskan Khairul Fahmi yang sekadar tergamam di gawang sendiri untuk memastikan kemenangan buat Harimau Selatan.