Bale sedia timbang semula tawaran Real

LONDON – Ejen Gareth Bale memberi satu tamparan kepada Tottenham Hotspur dengan memberitahu bahawa pemain itu bersedia mendengar sebarang tawaran daripada Real Madrid.

Dalam satu temuramah di Sepanyol, ejen bintang itu, Jonathan Barnett berkata: “Kalau ada seseorang seperti Florentino Perez (presiden Real Madrid) berminat ke atas Bale, ia adalah satu penghormatan dan kami bersedia mendengar tawarannya.

Komen Barnett itu dibuat berhubung kegagalan Real mendapatkan bintang Brazil, Neymar yang memilih untuk beraksi bersama Barcelona.

“Kami masih belum berbincang dengan mana-mana kelab,” jelas Barnett.

“Tetapi Bale lebih bagus daripada Neymar. Dia telah buktikannya dalam saingan liga terbaik di dunia.
“Saya harap Real mahukan pemain ini bukan kerana mereka gagal mendapatkan Neymar. Bale harus menjadi pilihan utama mereka.

“Semahal mana pun harga Neymar, harga Bale adalah lebih berbaloi berbanding pemain Brazil itu.”
Spurs bagaimanapun yakin pemain bintang mereka itu akan terus kekal di White Hart Lane buat sekurang-kurangnya semusim lagi.

Dilaporkan bahawa dia semakin hampir menandatangani kontrak lanjutan yang bakal menyaksikan gajinya dinaikkan sehingga £170,000 (RM790,853) seminggu. – Agensi