Bakal ‘Spy KDN’ ditipu

Banting: Mereka dijanjikan jawatan perisik atau ‘spy’ dengan gaji antara RM3,000 hingga RM6,000, namun semuanya hanya kelentong, sedangkan lelaki yang membuat janji dengan menyamar pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu kini lesap selepas mengutip ‘wang pemerosesan’ sebanyak RM59,100.

Itulah nasib menimpa 69 individu yang bercita-cita menjadi perisik KDN dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan membayar wang pemerosesan sebanyak RM250 hingga RM3,000 setiap seorang kepada suspek pada April lalu. Selain itu, suspek terbabit yang berusia 30-an turut mengutip RM16,000 daripada 1,600 orang dari sekitar Kuala Langat, kononnya untuk menjadi pemantau khas ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), baru-baru ini.

 Seorang daripada 69 mangsa yang memohon jawatan perisik itu, Mohd Faizul Dilla Mohamed, 28, berkata, dia sama sekali tidak menyangka menjadi mangsa penipuan suspek kerana lelaki itu yang juga suami kepada kakak angkatnya sudah dikenalinya sejak 12 tahun lalu.

Menurutnya, penampilan suspek amat meyakinkan seolah-olah seperti seorang pegawai kerajaan yang berpengalaman dalam perkhidmatan perisikan.

“Saya dan semua mangsa lain diberitahu, jika terpilih menjadi perisik, kami akan menjalani latihan intensif selama sembilan bulan di Hulu Kinta, Perak selain berpeluang menggunakan pistol jenis Glock dan Sig Sauer sewaktu bertugas. “Itu yang membuatkan kami tertarik dan tidak kisah untuk membayar wang pemerosesan, tambahan pula gaji ditawarkan agak lumayan,” katanya yang ditemui selepas membuat laporan polis bersama 19 lagi mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, di sini, baru-baru ini.

Mohd Faizul Dilla berkata, segalanya bermula ketika dia bertemu suspek pada awal bulan lalu dan lelaki itu menawarkannya jawatan sebagai perisik di KDN dan MKN, selain memintanya mencari seramai mungkin individu di sekitar Kuala Langat yang berminat menyandang jawatan itu.

“Seminggu selepas pertemuan itu, saya berjaya mengumpul 32 orang yang berminat untuk berkhidmat sebagai perisik di KDN dan setiap seorang diminta membayar wang pemerosesan RM250.

“Untuk menjadi perisik di MKN pula, saya berjaya mengumpul 37 orang dan setiap mereka membayar RM300 seorang,” katanya. Menurutnya, lapan daripada 69 individu turut membayar RM3,000 seorang kerana mereka tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bayaran itu membolehkan mereka memiliki sijil berkenaan.

“Selain itu saya berjaya mendapatkan kira-kira 1,600 orang yang berminat menjadi pemantau keselamatan sempena PRU-13 dan wang yang dikumpul mencecah RM16,000.

“Sehubungan itu, saya menyerahkan bayaran wang tunai RM59,100 kepada suspek ketika bersama beberapa rakan bertemunya di sebuah restoran di Banting pada 18 April lalu,” katanya.

Mohd Faizul Dilla berkata, selepas menerima wang itu, suspek berjanji semua yang memohon akan dilantik sebagai perisik KDN atau MKN serta pemantau PRU-13 dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, katanya, selepas lebih sebulan berlalu dan PRU-13 juga sudah berakhir suspek masih gagal mengotakan janjinya, malah mula menyepikan diri.

Menurutnya, apabila didesak suspek memberi alasan permohonan semua pemohon untuk menjadi perisik dan pemantau PRU-13 gagal kerana ada ‘gangguan’ daripada orang tertentu. “Bagaimanapun, dia (suspek) berjanji akan memulangkan semula wang itu. Pada mulanya, saya yakin dengan janjinya kerana sudah mengenalinya selama 12 tahun.

“Tapi, selepas beberapa hari saya mula sedar yang kami ditipu kerana dia bukan saja gagal menyerahkan wang berkenaan, malah panggilan telefon dan SMS juga tidak dibalas” katanya.

Mohd Faizul Dilla berkata, dia tambah tertekan kerana semua pemohon terbabit menyalahkannya dan meminta dia turut bertanggungjawab memulangkan semula wang yang dibayar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Nordin Manan sewaktu dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada 20 mangsa terbabit.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu dan suspek kini masih diburu pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.