Arsenal tempah tiket ke Liga Juara, Ferguson akhiri karier

MANCHESTER: Arsenal mara ke saingan Liga Juara-juara untuk kali ke-16 berturut-turut selepas memintas Tottenham di tangga keempat dalam Liga Perdana Inggeris manakala Alex Ferguson menamatkan peranan sebagai pengurus Manchester United dengan bergaya ketika seri 5-5 menentang West Bromwich Albion.

Jaringan Laurent Koscielny pada minit ke-52 mengesahkan kemenangan tipis 1-0 Arsenal ketika berentap di Newcastle biarpun Spurs menang dengan jaringan sama ke atas Sunderland menerusi Gareth Bale tetapi sudah tidak memberi makna.

“Kami meraikan kejayaan seperti kami menjuarai kejohanan ini, memang pelik sedikit selepas mengambilkira matlamat kami pada awal musim,” kata penjaga gol, Arsenal, Wojciech Szczesny.

Kelab itu menang lapan perlawanan dan seri dua daripada 10 perlawanan terakhir pada penghujung kempen.

Chelsea menamatkan saingan di tempat ketiga dan mengesahkan tiket terakhir secara automatik dalam Liga Juara-juara selepas menundukkan Everton 2-1 hasil jaringan Fernando Torres pada ketika pengurus Rafa Benitez hadir buat kali terakhir bersama juara Liga Europa itu. – AP