Arsenal mahu Gonzalo Higuain

LONDON – Boss Arsenal, Arsene Wenger dijangka mengorak langkah lebih awal pada tempoh perpindahan musim panas ini apabila Gunners membuat perjanjian dengan Real Madrid bagi menandatangani penyerang, Gonzalo Higuain.

Berdasarkan laporan media Sepanyol, kedua-dua pihak telah pun bersetuju dengan syarat-syarat peribadi serta yuran perpindahan.

Arsenal dikhabarkan akan membayar 22 juta euro (RM85 juta) bagi menandatangani pemain antarabangsa Argentina itu yang membuat 26 penampilan bersama Real musim ini dan merupakan penjaring kedua terbanyak kelab dengan 14 gol.

Higuain berada di Santiago Bernabeu sejak 2007 dan menjaringkan 105 gol dalam aksi La Liga dengan 188 penampilan.

Sekalipun musim perpindahan belum dibuka, namun, Gunners telah bertindak awal bagi mendapatkan pemain berkualiti sekalipun perlawanan Liga Perdana Inggeris masih berbaki satu perlawanan.

Bagaimanapun,rundingan tersebut tidak semudah yang dijangka apabila Higuain turut meletakkan syarat, yang mana dia hanya akan menerima tawaran Gunners sekiranya kelab itu layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Arsenal kini menghuni tangga keempat liga selepas menundukkan Wigan 4-1, semalam.
Kemenangan itu membolehkan Gunners memintas kembali Tottenham Hotspur dengan kelebihan satu mata.

Namun, skuad bimbingan Wenger masih perlu melakar kemenangan ke atas Newcastle Ahad ini bagi menjamin tempat ke Liga Juara-Juara menjadi milik mereka.

Wenger telah pun memiliki Olivier Giroud, yang meledakkan 11 gol dalam perlawanan liga sebagai penyerang tengah, musim ini sementara Theo Walcott, Gervinho dan Lukas Podolski turut bermain pada posisi depan. – AGENSI