Ancelotti tinggal PSG, tuju Real

Paris: Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Carlo Ancelotti mahu meninggalkan kelab Perancis itu dan memberitahu bahawa kelab Sepanyol, Real Madrid mungkin menjadi destinasi seterusnya.

Pengendali dari Itali itu sudah mengadakan perbincangan mengenai masa depannya bersama Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi dan pengarah sukan kelab berkenaan, Leonardo, kelmarin.

Namun difahamkan PSG yang baru saja menjuarai Liga Perancis enggan melepaskan Ancelotti yang masih berbaki setahun kontraknya bersama kelab itu.

“Kami mengadakan mesyuarat dan saya minta untuk meninggalkan kelab ini. Kami kini perlu menunggu beberapa hari lagi untuk mendapatkan maklum balas daripada kelab dalam menentukan masa depan saya.

Bukan masa terbaik

“Saya mempunyai beberapa pilihan dan Real Madrid salah satu daripadanya. Saya akan menanti keputusan kelab. Kami akan buat keputusan bersama kerana hasrat saya ialah untuk meninggalkan kelab ini.

“Ia bukan mudah kerana saya mempunyai hubungan yang cukup baik dengan semua individu di sini. Ia bukan masa sesuai untuk menjelaskan apa alasan saya dan mungkin saya tidak perlu menjelaskannya,” kata Ancelotti.
Ancelotti berjaya membawa PSG menjuarai Liga Perancis buat kali pertama sejak 1994, minggu lalu biarpun mereka masih berbaki satu perlawanan menentang Lorient, minggu depan.

Dia dikaitkan bakal ke Real selepas Jose Mourindo dikatakan akan kembali ke Chelsea, musim depan. – AP