Afiq Muiz nafi buang keluarga, kecewa sikap ibu

April lalu, ada gossip yang mengatakan Afiq Muiz kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan aktress Eina Azman tetapi pelakon remaja ini keras menafikan mereka mempunyai hubungan seperti didakwa.

Tidak pasti sama ada ia berkaitan atau tidak, ibu kepada Afiq Muiz tampil bercerita kepada mStar Online yang anak lelakinya itu sudah tidak seperti dahulu sejak mempunyai kekasih hati.

“Dia telah menderhaka terhadap ibunya dan bersikap baran terhadap adik-adiknya sedangkan sebelum ini Afiq cukup penyayang orangnya. Tetapi sejak dia mempunyai kekasih kelakuannya tidak lagi seperti dulu”

“Afiq kini sudah berubah. Dia sudah lupa bagaimana saya menjual burger untuk membantu dia berjaya dalam dunia seni”

“Ke hulu ke hilir saya bawa dia untuk di angkat menjadi artis berjaya dengan wang menjual burger. Hari ini apabila dia sudah berjaya, dia telah lupa semua itu,” luah ibu Afiq Muiz.

Ibu beliau turut menambah yang terkejut apabila memeriksa akaun bank Afiq Muiz & mendapati beliau pernah membelanjakan RM30,000 dalam masa sebulan selain menerima SMS kasar dari teman wanitanya.

“Saya sayangkan dia dan hanya mahu dia kembali seperti dulu. Kerana dia salah seorang anak yang soleh dan tidak pernah melukai hati ibu bapanya,” tambahnya lagi.

Menjawab dakwaan oleh ibu sendiri, Afiq Muiz telah tampil memberikan penjelasan dari pihak beliau hari ini dengan menyatakan yang ibunya sendiri telah menghalau dirinya keluar dari rumah keluarga.

“Saya sayangkan ibu kerana dia yang lahirkan saya. Jadi, saya tidak pernah membuang ibu, tetapi ibu yang usir saya dari rumah, Ibu saya tak pernah sayang saya” kata pelakon muda, Afiq Muiz, 21, mengenai hubungan dengan ibunya, Hasliza Mohd, 48.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media semalam selepas kecewa dengan kenyataan Hasliza dalam sebuah portal yang menggelarnya anak derhaka dan mendakwa sikapnya berubah selepas menjalinkan hubungan dengan pelakon, Eina Azman, 18.

Afiq yang popular menerusi drama bersiri di TV3, Mimpi Cinderella dan Bangkitnya Seorang Perempuan berkata, dia juga kecewa kerana ibunya mendedahkan perselisihan faham dan hal dalaman keluarga mereka kepada umum.

“Saya kecewa dan sedih apabila ibu memalukan saya di media. Saya tidak pernah menderhaka, tetapi berusaha mencari rezeki mengubah kehidupan keluarga.

“Namun, apabila mereka (keluarga) tahu saya berkawan dengan Eina, saya dikutuk, dikritik serta dihalau dari rumah. Eina pula dituduh mengikis semua wang simpanan saya,” katanya sambil menangis.

“Perkara ini terjadi bila saya berkawan rapat dengan Eina Azman. Keluarga saya tak sukakan Eina dan selalu tuduh Eina macam-macam. Saya selalu nasihat adik saya yang menghina Eina”

“Saya malu dengan adik saya sendiri sebab adik saya biadap dan apabila perkara ini terjadi, saya dihalau keluar dari rumah,” jelas Afiq Muiz lagi.

“Saya kerja siang malam, ibu saya tak pernah tanya khabar. Dia hanya bertanya mengenai duit saya sahaja. Dia sayang saya sebab duit. Kalau saya tak bagi, saya kena pukul dengan abang saya”

Afiq Muiz menyesali perbuatan ibunya yang menceritakan masalah keluarga mereka kepada orang luar & tika tahu apa motif sebenar perbuatan ibunya itu. Pelakon muda ini juga menafikan yang beliau menghabiskan RM30,000 untuk Eina Azman seperti didakwa.

Selain mendakwa Afiq Muiz menderhaka dan meminggirkan keluarga, ibu Afiq Muiz turut mendakwa dia menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan daripada kekasih pelakon itu. walaupun tidak mendedahkan identiti penghantar SMS itu, namun ramai yang percaya Eina Azman adalah individu yang dimaksudkan. Ini kerana Afiq dan Eina pernah digosipkan bercinta sebelum ini.

Ekoran daripada pendedahan itu, Eina Azman turut tampil memberi penjelasan kepada pihak media bersama-sama Afiq dalam satu sidang media.  

“Saya ingin jelaskan yang saya bukan kekasih Afiq. Saya cuma teman rapatnya sahaja. Menjadi teman rapatnya, sudah tentu orang lain yang tidak tahu perkara sebenar akan salah anggap dengan berpendapat yang saya ini kekasihnya.

Ibu Afiq melarang saya berkawan dengan Afiq sebab ibunya takut saya kikis duit Afiq. Tapi, apa bukti saya kikis duit Afiq? Apa bukti yang Afiq ada ‘memindahkan duit kepada saya? Semasa awal tahun ini, saya mendapat panggilan telefon daripada ibu Afiq yang memaki saya dan melarang saya berkawan dengan Afiq. Afiq pun berada di tempat kejadian ketika perkara itu berlaku,” luah gadis berusia 18 tahun ini.

“Cerita mengenai mesej yang berbaur ugutan itu tidak benar sama sekali. Saya cabar ibu Afiq tunjukkan bukti kalau ada. Perkara itu adalah fitnah semata-mata. Malah sebenarnya adik-adik Afiq yang buat ugutan di Twitter, tujukan kepada saya.

Saya juga menafikan khabar angin yang mengatakan saya bersekedudukan dengan Afiq. Semuanya adalah tidak benar. Saya masih ada keluarga dan saya kini tinggal bersama keluarga. Saya sudah lama sangat pendam semua ini. Tetapi apabila perkara ini terjadi, saya tidak boleh berdiam diri lagi,” ujar Eina meluahkan perasaan.

Dedah Eina lagi, dia juga pernah dimasukkan ke hospital baru-baru ini akibat tertekan dengan situasi yang sedang dihadapinya. Tambahnya lagi, dia dan Afiq tidak pernah memburuk-burukkan ibu Afiq dan adik-adiknya di laman Twitter.

“Saya tak pernah burukkan sesiapa di Twitter. Begitu juga dengan Afiq. Saya juga menafikan dakwaan orang yang mengatakan saya menggunakan jampi atau pun bomoh terhadap Afiq. Tidak sama sekali,” ulas Eina.

“Saya cabar ibu Afiq untuk bertemu dengan saya. Saya bagi tempoh seminggu untuk ibu Afiq meminta maaf kepada saya secara terbuka, bermula esok,” tegas Eina lagi.

Sementara itu, Ibu Eina, Amy Roshaida yang turut hadir dalam sidang media itu turut mengesahkan anaknya tidak menjalinkan hubungan cinta dengan Afiq.

“Saya ibu Eina, saya tahu anak saya. Mereka tak bercinta, tetapi hanya teman rapat. Afiq selalu menceritakan permasalahan keluarganya kepada kami. Apa-apa pun, saya tetap menasihatkan Afiq pulang ke pangkuan ibunya.

Walau apa pun terjadi, dia tetap ibu Afiq. Kalau betul pun Eina dengan Afiq bercinta, saya tak nak kerana saya tak mahu perkahwinan mereka tidak direstui,” luah ibu Eina.