AFC Cup: Selangor gagal layak ke suku akhir

Selangor tersingkir dari saingan Piala AFC selepas kecundang 2-0 kepada New Radiant SC di pusingan kalah mati pada hari Rabu.

Selangor hadir ke Stadium Nasional Maldives dengan pasukan yang lengkap tanpa kecederaan bertemu juara Kumpulan F, New Radiant SC di pusingan kalah mati Piala AFC.

Selepas Kelantan tersingkir dari saingan Piala AFC pada hari Selasa, Red Giants satu-satunya wakil Malaysia untuk mara ke pusingan suku akhir.

New Radiant tidak kurang hebatnya dengan menjaringkan 20 gol di peringkat kumpulan kejohanan ini.
Pasukan tuan rumah yang diketahui sangat merbahaya di bahagian serangan terus mengasak sejurus perlawanan dimulakan.

Penyerang berbisa, Ali Ashfaaq mara ke hadapan cuba untuk mencipta peluang namun Peter Chrappan pantas menendang keluar bola dan New Radiant mendapat sepakan sudut pertama pada minit ke-2.

Tujuh minit selepas itu, Michal Kubala dijatuhkan dan sepakan percuma diberikan kepada Selangor. Mahali Jasuli mengambil sepakan percuma dari kanan namun tendangannya ditendang keluar oleh Chrappan.

Selangor sekali lagi diberikan sepakan percuma apabila Kubala dikasari – sepakan Kubala tersasar ke kiri gawang gol.

New Radiant kembali mengasak apabila Ashfaaq melakukan rembatan merbahaya tetapi Norazlan berjaya menepis sepakannya.

Pada minit ke-27, pasukan tuan rumah mendapat peluang terbaik untuk mendahului perlawanan apabila Muhammad Hussain melakukan percubaan dari dalam kotak penalti tetapi telah tersasar ke kiri gawang gol.

Masuk babak kedua, benteng pertahanan Selangor terus diasak bertubi-tubi oleh jentera serangan pasukan tuan rumah. Berlainan dengan Red Giants yang kurang mencipta peluang di hadapan gawang New Radiant.

New Radiant terus meguasai perlawanan tanoa memberi peluang untuk pasukan pelawat melakukan serangan.

Perlawanan menjadi lebih tegang selepas itu, apabila Raimi dikasari dan Chrappan telah bertelagah menyebabkannya dilayangkan kad kuning – kad kuning keempat Selangor.

Selangor melakukan perubahan kedua dalam pasukan apabila jurulatih, Irfan Bakti menggantikan Amri Yahyah dengan Shukur Jusoh pada minit ke-76 perlawanan.

Pada minit ke-80 Selangor melakukan serangan balas apabila Forkey Doe mara dari kanan ke kotak penalti namun percubaannya tidak berjaya.

Pasukan tuan rumah kembali menguji Red Giants tidak lama kemudian melalui sepakan sudut tetapi Norazlan berjaya mengawal gawang gol dengan cemerlang.

Masuk ke masa penamat, tiada jaringan yang berjaya dicipta oleh kedua-dua pasukan dan perlawanan terpaksa masuk ke masa tambahan.

Minit ke-3 masa tambahan, Selangor melakukan pergerakan cantik di tengah apabila Raimi membuat hantaran kepada Shukur di kanan namun rembatan Shukur tersasar.

Empat minit kemudian, jaringan pertama perlawanan berjaya dicipta apabila Ahmed Niyaz meletakkan New Radiant dihadapan pada minit ke-8 masa tambahan.

Afiq Azmi masuk menggantikan Forkey Doe dua minit selepas itu.

Tugas lebih berat untuk Selangor yang masih cuba untuk mencipta peluang namun masih tidak berjaya menguji penjaga gol tuan rumah pada 15 minit pertama masa tambahan.

Pasukan tuan rumah berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-14 sumbangan Fasir Ali.