6 pengikut ‘Tuhan Harun’ mengaku bersalah

Kuantan: Enam lelaki pengikut ajaran sesat Tuhan Harun mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini, kerana menyimpan dan memiliki dokumen bertentangan dengan hukum syarak bulan lalu.

Mereka membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Syarie Abdul Wahid Md Ali Al-Fakwie selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mereka yang didakwa adalah Husin Ismail, 43, Pius Anahong@Mahdi Abdullah, 40, Mohd Khalilie Zazali, 31, Syahiszam Soid, 40, Mohd Nizam Mohd Salleh, 43, Mohd Shahril Mohd Jaafar, 28.

Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa menyimpan dokumen bertentangan dengan hukum syarak pada 4 April lalu kira-kira jam 6.50 petang di sebuah premis di B16-1st, Lorong Pandan Damai 2/21.

Mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan 1987) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM500.