Vincent Tan akan cari jalan untuk pemain negara

CARDIFF, Wales – Terkenal dengan semangat patriotik yang amat tinggi, pemilik Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan akan mencari jalan bagaimana hendak membawa pemain Malaysia untuk beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) suatu hari nanti.

Jika bukan disebabkan peraturan EPL yang menghalang pemain negara daripada beraksi dalam liga bola sepak paling popular di dunia itu,

Vincent sudah lama memujuk pengurus Cardiff, Malky Mackay untuk membawa beberapa pemain Malaysia yang berpotensi.

“Saya masih memasang harapan kita dapat membawa pemain Malaysia bermain di sini (Liga Perdana) suatu hari nanti, tetapi kita kena memenuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak EPL.

“Mungkin, mereka (pemain) ini boleh beraksi semusim dulu di kelab-kelab Eropah lain, kemudian baharu dibawa bermain di EPL… Kita tengok bagaimana.

“Saya akan cuba meyakinkan Malky (Mackay) kerana sudah tentu dia yang membuat semua keputusan, walaupun saya taukeh (pemilik) tetapi itu kuasa pengurus untuk tentukan siapa pemain yang dia mahu.

“Namun kalau saya yang bercakap dengannya, mungkin dia masih boleh mendengar kata-kata saya… Sekurang-kurangnya 50 peratus,” ujar Vincent pada sidang akhbar di sini, semalam.

Tegas Vincent, beliau percaya Malaysia mempunyai ramai pemain berbakat yang boleh diketengahkan, malah jika pemain Korea Selatan dan Jepun mampu bersaing dalam bola sepak Inggeris mengapa tidak pemain kita yang memiliki fizikal hampir serupa.

Katanya, isu sebenar ketika ini bukan tentang fizikal dan bakat semata-mata, tetapi lebih kepada Malaysia tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak Liga Perdana.

Permit kerja hanya akan dikeluarkan oleh pihak England untuk pemain yang datang dari negara 70 terbaik ranking dunia bagi menjaga kualiti liga bola sepak Inggeris. Malaysia tidak pernah berada dalam kelompok 100 terbaik dunia sekali pun.

Justeru opsyen kedua yang dimiliki pemain negara jika masih mahu bermain dalam EPL adalah dengan beraksi beberapa tahun dalam liga Eropah yang lain, sebelum mencuba nasib di England.
Cardiff City sebelum ini pernah membawa dua pemain Malaysia, Safee Sali dan Safiq Rahim menjalani latihan selama dua minggu.