Vincent impi pertemuan ‘Malaysian Derby’, sedia ambil pemain negara

KUALA LUMPUR – Pemilik Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan berharap Queens Park Rangers (QPR) tidak tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi melunaskan impiannya untuk melihat kedua-dua pasukan bertemu pada musim depan dengan menggelarkan perlawanan sebagai ‘Malaysian Derby’.

Selain Cardiff, QPR juga dimiliki oleh usahawan dari Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes .
Namun, kelab London itu berada di ambang bahaya tersingkir ke Liga Kejuaraan kerana berada di zon penyingkiran, tatkala musim berbaki empat perlawanan.

Menurut Vincent, beliau sentiasa berhubung dengan Fernandes dan yakin bahawa perjuangan kelab itu masih belum selesai dengan syarat mereka mampu untuk memenangi baki empat perlawanan.
“Pakar bola sepak berkata ia mustahil, tetapi saya kata tidak. Saya lebih suka mereka kekal bersaing di EPL.

“Saya pernah berseloroh jikalau QPR kekal kita akan bertemu mereka musim depan seterusnya digelar perlawanan ‘Malaysian Derby’,” katanya dalam sidang media semalam.

Ketika Cardiff sudah mengesahkan tempat di EPL musim depan, QPR menghuni kedudukan kedua tercorot liga.

Mereka kini mengutip 24 mata, berkongsi mata dengan pasukan tercorot, Reading.

Wigan pula mengumpul 31 mata untuk berada pada kedudukan ketiga tercorot.

Aston Villa yang menghuni kedudukan terakhir zon selamat mengumpul 34 mata.

“Jika QPR tersingkir sekali pun, saya menjangkakan mereka akan kembali ke EPL musim akan datang.

“Tony Fernandes adalah seorang yang hebat dalam bidang keusahawanan dan juga bijak mengatur strategi,” kata Vincent lagi.

Sementara itu, beliau bersedia untuk memberi peluang kepada pemain-pemain negara beraksi dalam saingan Liga Perdana England bersama kelab itu sekira- nya mereka berjaya memikat hati pengurus, Malky Mackay.

Begitupun Vincent berkata, pemain negara perlu memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England terlebih dahulu sebelum dapat menjejakkan kaki dalam saingan liga bola sepak berprestij di Eropah itu.

“Sudah pasti saya mahu membawa seorang atau dua pemain Malaysia ke Cardiff City. Ia memang menjadi antara matlamat saya sejak memiliki kelab ini.

“Pengerusi program 1Malaysia Cardif City (1MCC), Datuk Chan (Tien Ghee) juga banyak berusaha ke arah ini menerusi penglibatan pemain-pemain cilik Malaysia di sini.

“Namun, untuk membawa pemain negara dalam masa terdekat ini seperti Safee (Sali) atau sesiapa sahaja, mereka harus memenuhi kriteria yang ditetap- kan oleh FA England,” jelas Vincent dalam sidang media mengenai kejayaan kelab tersebut layak ke saingan Liga Perdana England musim 2013-14 di Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir Pengerusi Berjaya Corporation Berhad, Datuk Robin Tan.

Menurut Vincent, antara kriteria yang ditetapkan oleh FA England ialah ranking dunia negara pemain tersebut harus berada tidak lebih daripada kedudukan No. 70 dunia.

“Selain itu, pemain berkenaan juga perlu beraksi dalam saingan bola sepak Eropah selama satu musim terlebih dahulu dan selepas itu barulah dia dapat beraksi di England.

“Sebenarnya ia tidak mustahil berlaku, jangan sesekali kata mustahil tentang sesuatu perkara jika kita belum melakukan- nya,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Vincent yang juga Pengerusi dan Ketua Eksekutif Berjaya Corporation Berhad menjelaskan misinya untuk membawa Cardiff City mencapai satu tahap yang lebih tinggi dalam saingan di England.