Vettel kekal kejuaraan GP Bahrain

Manama (Bahrain): Pemandu Red Bull, Sebastian Vettel menjuarai perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain buat kali kedua berturut-turut malam tadi, dan sekali gus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu kategori pemandu dengan kelebihan 10 mata selepas mengharungi empat perlumbaan.

Pemandu kelahiran Jerman berusia 25 tahun itu merakamkan masa 1 jam 36 minit 00.498 saat mengatasi Kimi Raikkonen dari Lotus di tempat kedua dengan kelebihan 9.1 saat, sekali gus merekodkan gelaran juara keduanya musim ini dan ke-28 sepanjang karier.

Dalam perlumbaan yang berlangsung tanpa kemalangan besar dan tidak terganggu dengan protes anti-kerajaan dan rusuhan awam di tempat lain, seorang lagi pemandu Lotus, Romain Grosjean menamatkan saingan di tempat ketiga bagi menyamai keputusan podium musim lalu.

Hamilton tempat kelima

Pemandu Force India, Paul di Resta mempamerkan pemandu konsisten apabila menamatkan perlumbaan di tempat keempat manakala Lewis Hamilton yang bersaing hebat dengan rakan sepasukan Vettel, Mark Webber kelima.

Setakat ini, Vettel kekal sebagai pendahulu kategori pemandu dengan 77 mata diikuti Raikkonen yang turut merekodkan kejayaan mengutip mata sepanjang 21 perlumbaan berturut-turut. – Reuters