United mahu sahkan gelaran juara lebih awal

LONDON – Pemain pertahanan Manchester United, Phil Jones (gambar) menegaskan pendahulu Liga Perdana England itu bertekad untuk menamatkan saingan musim ini dengan bergelar juara lebih awal.

Skuad kendalian Alex Ferguson itu kini semakin membuktikan aksi bertenaga dalam setiap perlawanan kebelakangan ini sebelum diikat seri 2-2 ketika berkunjung ke West Ham kelmarin.

Begitupun, Jones yakin prestasi United tidak akan mudah ‘jatuh’ dan dia pasti gelaran ke-20 kelab berkenaan akan disahkan dalam dua perlawanan berikutnya.

United mempunyai peluang untuk mengesahkan trofi musim ini sekiranya Manchester City yang ketinggalan 13 mata di belakang United, tewas kepada Tottenham esok.

“Kami yakin dengan apa yang telah kami lakukan sepanjang musim ini, dan tiada apa yang akan berubah sekarang.

“Kami mempunyai perlawanan yang besar menentang Aston Villa selepas ini dan saya pasti, jika kami dapat meraih tiga mata, United akan tampil lebih hebat ketika menentang Arsenal pada 28 April nanti,” kata Jones.

Sementara itu, pembantu pengurus Manchester City, David Platt berasakan jadual padat yang dilalui kelab kebelakangan ini telah menjejaskan mental para pemain biarpun mereka mampu menumbangkan Wigan 1-0 baru-baru ini.

Bagaimanapun, anak-anak buah Roberto Mancini itu yang mungkin akan beraksi tanpa Sergio Aguero minggu ini ekoran masalah kecederaan, masih mempunyai masa untuk membuat persediaan terbaik sebelum bertemu Tottenham di White Hart Lane esok.

“Saya fikir kami juga dapat rasakan kesan daripada dua perlawanan besar sebelum ini (menentang United dan Chelsea), oleh itu mental pemain harus diutamakan agar ia tidak menjejaskan rentak permainan pemain.

“Masalah fizikal boleh diketepikan seketika, tetapi kekuatan mental pemain harus dijaga. Perlawanan tersebut telah menjejaskan rentak kami. Kami akan cuba memulihkannya sebelum berkunjung ke White Hart Lane,” ujar Platt.

Dalam pada itu, kelab di tangga kelima liga, Tottenham mempunyai misi penting untuk menewaskan City sekali gus mengatasi kedudukan Arsenal dan Chelsea bagi mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Arsenal memiliki kelebihan dua mata untuk berada di tempat keempat, manakala kelab ketiga liga, Chelsea mendahului Tottenham dengan tiga mata. – AFP